Search This Blog

Wednesday, September 5, 2012

Peragut gempal dibelasah



PERAGUT gempal ditahan setelah dibelasah oleh orang ramai di persimpangan lampu isyarat berhampiran Sekolah Menengah Seksyen 5, Wangsa Maju, semalam.
KUALA LUMPUR 4 Sept. - Niat tiga lelaki untuk meragut seorang wanita ketika berhenti di tiang lampu isyarat ternyata tidak berjaya apabila salah seorang daripada mereka dicekup dan dibelasah oleh orang ramai di Seksyen 5, Wangsa Maju, di sini hari ini.
Dalam kejadian berhadapan Sekolah Menengah Seksyen 5, Wangsa Maju itu, tiga lelaki yang menaiki dua motosikal Yamaha 125z difahamkan cuba memecah cermin kereta jenis Honda Insight yang dipandu seorang wanita berusia 30 an, kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.
Percubaan suspek untuk menarik beg tangan milik wanita itu tidak berjaya setelah seorang lelaki yang ketika itu memandu sebuah van jenis Nissan Vannete dan berada di belakang kereta mangsa telah melihat kejadian.
Menurut sumber, van terbabit secara tiba-tiba merempuh suspek yang ketika itu sedang cuba menarik beg tangan mangsa hingga menyebabkan dua daripada mereka yang menunggang motosikal berwarna hitam terjatuh.
"Dua daripada jatuh ke atas jalan raya manakala seorang lagi yang menunggang motosikal berwarna biru sempat melarikan diri.
"Salah seorang daripada penjenayah yang terjatuh itu juga melarikan diri tetapi rakannya yang berbadan gempal sempat dicekup orang ramai yang mengepungnya," katanya kepada Utusan Malaysia.
Difahamkan, lelaki berbadan gempal berusia awal 20 an itu mempunyai dua rekod kesalahan dan baru sahaja dilepaskan dari pusat tahanan Simpang Renggam, baru-baru ini.
"Dua rakan suspek yang berjaya melarikan diri juga telah dikenal pasti dan polis akan berusaha menahan mereka dalam masa terdekat," katanya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika mengesahkan kejadian itu berkata, suspek kini dalam keadaan separa kritikal akibat dipukul orang ramai dan kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

No comments:

Post a Comment