Penyamun berjaya dicekup, selepas dua jam motor hilang
Suspek curi motorsikal ditahan polis dengan bantuan anggota sukarelawan keselamatan Kerian dan orang ramai.
PARIT BUNTAR - Tidak sampai dua jam melakukan jenayah mencuri motorsikal, seorang penyamun menerima nasib malang apabila dia dicekup pemilik kenderaan itu di hadapan sebuah kedai makanan di Bandar Seri Tenggara, di sini, malam kelmarin.

Suspek berusia lingkungan 20an itu dicekup ketika pemilik motorsikal dalam perjalanan ke Balai Polis Parit Buntar untuk membuat laporan sebelum menyedari motorsikalnya diletakkan di hadapan sebuah restoran.

Pemilik motorsikal yang dikenali sebagai Yap, 26, berkata, dia menyedari kehilangan motorsikal jenis EX5 Dream yang diletakkan di hadapan sebuah kedai motorsikal pada jam 8.30 malam hari kejadian ketika bergegas hendak pulang ke rumah.

“Berikutan itu, saya terus memohon bantuan pasukan sukarelawan keselamatan Kerian untuk menjejaki motorsikal yang hilang dan mencarinya selama sejam tetapi tidak berhasil.

“Bagaimanapun, saya menyedari motorsikal saya diletakkan di hadapan sebuah restoran ketika dalam perjalanan hendak membuat laporan polis.

“Saya segera menghubungi anggota sukarelawan untuk menangkap pencuri terbabit dan suspek dicekup ketika dia hendak beredar dari premis berkenaan dengan motorsikal dicuri lebih kurang 15 minit kemudian dengan bantuan polis dan orang ramai,” katanya.

Di sebalik penangkapan suspek, Yap masih membuat laporan polis di Balai Polis Parit Buntar pada hari kejadian.

Menurutnya, beberapa hari sebelum penangkapan suspek, Yap mendedahkan kejadian curi motorsikal turut berlaku di kawasan taman perumahan berdekatan.

“Saya berharap polis dapat meningkatkan pemantauan keselamatan di sekitar kawasan Pekan Baru Parit Buntar bagi memastikan kes kecurian motorsikal di kawasan sini dapat dibendung,” katanya.