Peniaga shisa tak serik diserbu banyak kali
Penguat kuasa MPKB-BRI, Mohamad Ali sedang memeriksa peralatan shisa yang dirampas.
KOTA BHARU- Degil! Walaupun pernah diserbu beberapa kali, beberapa premis di bandar ini tidak serik dan masih menjalankan perniagaan di premis jualan mereka dengan menyediakan shisa bagi menarik pelanggan.

Atas risikan dan maklumat awam, taktik peniaga di restoran terbabit berjaya dihidu pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MKPB-BRI) dan merampas sebanyak 83 botol shisa bernilai RM35,000.

Ketua Penolong Pengarah Penguat kuasa MPKB-BRI, Ramli Che Hussain berkata, dalam serbuan terbabit yang dijalankan sejak 6 September sehingga semalam, sebanyak empat lokasi dikenal pasti menjalankan perniagaan dengan menggunakan shisa termasuk di Jalan Sultanah Zainab, Jalan Pejabat Pos Lama, Taman Hijau dan di kawasan Berek 12, Kadir Adabi.

“Peniaga di premis makanan terbabit, masih tidak serik walaupun pernah dikenakan tindakan.

“Mereka melakukan kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pengawalan, Penyeliaan Establishment Makanan 1987 (Pindaan 2003) yang tidak membenarkan penggunaan dan penawaran alat di premis yang dilesenkan.

Ramli berkata, setakat tahun ini, jumlah rampasan terbabit merupakan yang terbesar sepanjang serbuan dijalankan di sekitar bandar ini.

“Walaupun MPKB tidak dapat menguatkuasakan larangan jualan peralatan shisa, namun peralatan itu dirampas kerana penjualan shisha menyalahi syarat lesen niaga dikeluarkan MPKB.

“Jadi sememangnya jelas, shisa tidak boleh dijual di mana-mana premis perniagaan di negeri ini dan seharusnya peniaga terbabit mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, diharapkan dengan rampasan yang dilakukan dapat menyedarkan para peniaga dan memberi amaran bahawa penjualan shisa tidak dibenarkan di Kelantan.

Kita harap selepas ini peniaga-peniaga di negeri ini mematuhi dan memahami peraturan yang ditetapkan supaya imej negeri ini terpelihara dan menjadi contoh kepada negeri lain,” katanya.