Search This Blog

Saturday, September 15, 2012

Peniaga maut kena tikam



 
Temerloh: Seorang lelaki mati, manakala isterinya parah dalam kejadian samun didalangi tiga penjenayah di Kampung Baru Simpang Sanggang, di sini awal pagi semalam.

Abdul Talib Yadin, 56, maut selepas ditikam suspek menggunakan pisau, manakala isterinya, Siti Rohani Salleh, 48, luka di perut dan dada akibat kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu. Walaupun parah, Rohani nekad merangkak sejauh 200 meter ke rumah penduduk untuk meminta bantuan jiran. Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abdul Ghani, berkata pasangan itu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas berniaga di kawasan.

Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh, tetapi kereta PERODUA Kancil dipandu Abdul Talib, ditahan kira-kira 200 meter sebelum tiba di rumah.

Mangsa terlanggar kereta suspek


“Mangsa cuba mengelak tetapi tidak sempat lalu melanggar bahagian depan sebelah kiri kereta berwarna merah dinaiki suspek. Tiga lelaki kemudian keluar sebelum memecahkan cermin kereta mangsa yang dipercayai cuba melawan, tetapi ditikam dengan senjata tajam sehingga mati di tempat kejadian.
“Isteri mangsa juga cedera kiri dan kanan rusuk akibat ditikam, namun kini stabil selepas menjalani pembedahan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS). Dalam kejadian itu, suspek dipercayai melarikan wang tunai RM700, seutas gelang tangan, gelang kaki dan tiga telefon bimbit menyebabkan kerugian dianggarkan RM4,000,” katanya.

Katanya, polis yang menemui 11 kesan cap jari pada kereta mangsa tetapi gagal mengesan sebarang senjata tajam di tempat kejadian, tidak menolak kemungkinan faktor dendam menyebabkan pasangan suami isteri itu diserang dan ditikam.

Sementara itu jiran mangsa, Yusri Mohd Amin, 31, berkata dia sedang tidur apabila dikejutkan dengan panggilan Siti Rohani yang berlumuran darah, mengerang meminta tolong.

Isteri berpura-pura pengsan


“Dia memberitahu disamun dan suaminya turut ditikam serta terpaksa berpura-pura pengsan sebelum merangkak meminta bantuan sebaik tiga penyamun terbabit beredar. Saya kemudian memanggil beberapa jiran sebelum ke lokasi kejadian memeriksa keadaan Abdul Talib,” katanya.

Adik mangsa, Abdul Samad, 46, pula berkata, abang dan kakak iparnya hanya tinggal berdua di rumah kerana empat anak mereka berusia 16 hingga 27 tahun bekerja dan belajar.

“Mereka memang selalu pulang lewat selepas berniaga, malah beberapa bulan sebelum ini abang pernah cuba disamun ketika dalam perjalanan pulang namun sempat menyelamatkan diri,” katanya.

No comments:

Post a Comment