MUAR – Seorang peniaga cedera parah di pergelangan tangan kanan apabila ditetak dengan parang oleh seorang lelaki dalam satu kejadian serangan di Jalan Sungai Abong, kelmarin.

Kejadian yang berlaku kirakira jam 3 petang itu berlaku ketika mangsa memandu kereta bersendirian dari pusat bandar menghala ke Sungai Abong.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, setibanya di tempat kejadian di Jalan Sungai Abong berhampiran pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), kenderaan mangsa dihalang oleh kenderaan suspek.

Menurutnya, suspek berusia 34 tahun menghampiri kereta mangsa sambil menunjukkan parang kepada mangsa.

“Mangsa yang terkejut dengan tindakan suspek bertindak melarikan diri untuk menyelamatkan dirinya.

“Bagaimanapun, suspek mengejar mangsa sejauh hampir 30 meter sehingga berjaya menahan sebelum menetak tangan mangsa,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, semalam.

Beliau berkata, kejadian tersebut disaksikan oleh sepasukan polis yang kebetulan membuat rondaan di kawasan berhampiran.

“Apabila suspek menyedari polis menghampirinya, dia cuba melarikan diri tetapi tidak berjaya.

“Ketangkasan pihak polis berjaya menangkap suspek dalam tempoh 15 minit selepas dia menetak mangsa," katanya.

Kata Mohamad Nasir lagi, suspek ditahan bersama sebilah parang yang terdapat kesan darah digunakan ketika menetak mangsa.

“Mangsa berusia 25 tahun yang mengenali suspek telah memandu kereta sendiri untuk ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) bagi mendapatkan rawatan kecederaan yang dialaminya.

“Suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 12 September ini untuk membantu siasatan,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.