SHAH ALAM - Akibat mengedar ganja seberat 1.7 kilogram, seorang penghantar surat menerima padah apabila dia dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu, selepas mendapati Syamsul Akmal Shah Baki, 29, bersalah seperti pertuduhan.

Akhtar berkata mahkamah tidak percaya dengan keterangan Syamsul Akmal ketika dia membela diri.

Syamsul Akmal didapati bersalah mengedar Kanabis di tingkat 3, hadapan lif, Blok C1 Carlina Apartment, Jalan Sepah Puteh 5/1, Kota Damansara, Petaling Jaya, jam 10.30 malam, 18 Julai 2010.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis mendapat maklumat berhubung pengedaran dadah di tempat kejadian.

Hasil intipan itu, polis ternampak seorang lelaki membawa beg galas keluar dari kereta Honda Civic.

Syamsul Akmal cuba melarikan diri, bagaimanapun berjaya ditangkap dan pemeriksaan terhadap beg galas itu menemui satu  bungkusan ketulan yang mengandungi ganja.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norhani Mohd Azhar manakala peguam Afifuddin Mohd Afifi mewakili Syamsul Akmal.