PERAK TENGAH - Seorang lelaki yang disyaki pengedar dadah sedang asyik menunggu pelanggan berjaya diberkas sekumpulan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah dalam satu serbuan pada 5 September lalu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, serbuan itu dibuat di sebuah pondok di dalam kebun kelapa sawit di Kampung Sungai Kerang, Mukim Kota Setia.

Menurutnya, pondok berkenaan dipercayai digunakan sebagai tempat suspek menjual dan membungkus dadah untuk dijual kepada penagih kawasan sekitar Mukim Kota Setia.

“Semasa serbuan yang dibuat pada jam 4.20 petang itu suspek yang dipercayai pengedar dadah sedang menunggu pelanggan datang untuk membeli dadah daripadanya.

“Hasil siasatan kita telah menjumpai satu paket plastik lutsinar mengandungi ketulan kecil disyaki dadah jenis heroin dengan berat 60 gram, enam paket plastik mempunyai ketulan dadah yang dipercayai jenis heroin dengan berat 64 gram dan juga sembilan paket plastik kecil lut sinar yang mengandungi hablur Kristal disyaki syabu dengan berat 17 gram,” katanya dalam satu sidang media di sini semalam.

Mohamad Fakri berkata, dadah seberat 141 gram itu bernilai RM5,000 dan dipercayai untuk pasaran tempatan.

“Daripada soal siasat yang kita jalankan, suspek mendapatkan bekalan dadah itu daripada Ipoh dan Bidor.

“Suspek akan disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman gantung mandatori,” katanya.

Katanya, suspek yang berusia 30 tahun itu adalah seorang penagih dan mempunyai rekod tangkapan sebagai penagih.