Penduduk tidak sanggup lagi hadapi banjir kilat
Air setinggi paras lutut telah menyebabkan sebahagian rumah penduduk di Kampung Gabis dimasuki air
PADANG RENGAS - Hujan lebat selama lebih dua jam menyebabkan 13 rumah di Kampung Gapis, di sini dilanda banjir kilat, kelmarin.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 2 petang itu menyebabkan semua kediaman masing-masing terletak di kawasan rendah dinaiki air sedalam hampir satu setengah meter.

Penghulu Mukim Kampung Buaya, Zaini Abd Aziz berkata, kejadian itu sudah dijangka penduduk apabila kawasan sama kerap dinaiki air setiap kali hujan berlebihan berlaku.

Menurutnya, ia dipercayai berlaku akibat limpahan air dari Sungai Papan yang terletak hanya beberapa meter di kawasan penempatan itu.

“Ini bukan insiden pertama, dalam tahun ini sahaja, sudah beberapa kali banjir berlaku. Memang setiap kali hujan melebihi paras biasa, penduduk sudah bersiap sedia kemungkinan berlakunya banjir,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam tinjauan kelmarin, keadaan paras air kelihatan hampir surut, namun terdapat beberapa kawasan rumah yang masih digenangi air dan beberapa penduduk turut membersih kediaman masing-masing.

Zaini berkata, paras air di kawasan itu surut sekitar jam 4 petang selepas hujan lebat mulai reda.

Kata beliau, pihaknya bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sudah menjalankan bancian mangsa yang terlibat dan bantuan sewajarnya akan disalurkan melalui tabung bencana,” katanya.

 Setuju jika ada usaha pindah

Kekerapan banjir kilat yang berlaku di kawasan itu sejak berbelas tahun lalu mendorong mereka yang terbabit mengatur cadangan agar penempatan baru dilakukan.

Pengerusi JKKK Gapis, Omar Jidin berkata, rata-rata penduduk yang terlibat seakan sudah tidak sanggup menanggung risiko banjir lagi apabila beberapa barangan dan perkakas mereka mengalami kerosakan setiap kali banjir berlaku.

Menurutnya, sebelum ini, pihaknya sudah mengatur cadangan agar penempatan baru bagi rumah yang sering terlibat dalam banjir di dilakukan.

“Secara dasarnya penduduk setuju, tetapi perlulah kawasan yang sesuai dan terjamin dengan kemudahan infrastruktur yang baik, namun dalam usaha ini, perlu ada campur tangan
Kerajaan Negeri, barulah ia dapat dilakukan dengan teratur,” katanya.

Kampung Gapis yang mempunyai 95 rumah merupakan kampung tradisional, namun kebanyakan kediaman lain berada di kawasan tinggi.

Beliau berkata, cadangan itu dikemukakan berikutan gerak kerja sebelum ini seperti pedalaman sungai dan meluruskan aliran sungai tidak mendatangkan sebarang kesan apabila banjir kilat masih berlaku terutama pada musim tengkujuh.

Beberapa projek mega seperti landasan kereta api berkembar elektrik dan sistem perparitan yang tidak terancang di sekitar kawasan itu turut menyumbang kepada insiden banjir kilat yang tidak berkesudahan.

Mahu penyelesaian bukan bantuan

Bagi seorang penduduk, Mohd Romi Hussin, 66, apa yang mereka mahukan hanyalah penyelesaian secara menyeluruh terhadap isu banjir di kawasan itu.

Menurutnya, bantuan kewangan yang diterima setiap kali banjir tidak memadai apabila masalah sama berulang saban tahun.

“Sudah beberapa kali aduan dibuat, ini bukan masalah baru, sudah lama tetapi sampai sekarang belum ada penyelesaian.

“Kami bukan mahu wang, tetapi nak tuntut penyelesaian,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Harisun Abd Hamid, 56, berharap agar masalah itu dapat diselesaikan segera supaya tiada lagi kebimbangan ketika musim tengkujuh.

Menurutnya, ini kejadian ketiga berlaku sejak awal tahun lalu dan kelmarin adalah kejadian terburuk kerana air lambat surut.

“Apabila banjir, air dari Sungai Papan melimpah ke kawasan rumah yang lebih rendah. Tambak tanah yang dibuat oleh pemaju projek berkenaan telah menghalang air mengalir keluar dan lambat surut.

“Kami rasa terbeban dengan keadaan ini selain mengalami kerugian setiap kali banjir kerana pelbagai kelengkapan rumah rosak dan berharap pelbagai pihak dapat memberi perhatian
sewajarnya untuk menyelesaikan masalah kami ini,” katanya.