Ayam goreng umpan judi
Siber kafe perlu menggunakan cermin lutsinar bagi memudahkan pemantauan pihak berkuasa
KUANTAN – Penduduk perumahan Balok Perdana dekat sini, mahu premis judi yang berselindung di sebalik kafe siber di kawasan perumahan tersebut diambil tindakan pihak berkuasa sekali gus ditutup secepat mungkin berikutan boleh mencetuskan kemudaratan kepada penduduk setempat terutama golongan muda.

Aktiviti perjudian itu didedahkan kepada Sinar Harian oleh seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Ghazali,48, yang mendakwa premis judi 24 jam tersebut telah beroperasi sejak dua bulan lalu.

“Saya mahu pihak berkuasa bertindak segera kerana jika dibiarkan pusat judi ini terus beroperasi di kawasan perumahan, kita bimbang aktiviti haram ini akan mempengaruhi golongan muda untuk mencubanya.

“Apatah lagi pusat judi ini turut tidak mengehadkan umur pelanggan, jadi sesiapa sahaja juga boleh masuk dan berjudi,” katanya kepada Sinar Harian yang ditemui berhampiran premis berkenaan, semalam.

Menurutnya, sehingga kini laporan polis secara lisan sudah dilakukan sebanyak dua kali dan surat rasmi penduduk juga telah dihantar kepada Ketua Polis Pahang serta Majlis Perbandaran Kuantan untuk diambil tindakan namun hingga kini masih samar.
“Selepas laporan polis dibuat, kami dapat tahun polis ada meronda di kawasan ini namun pemilik pusat judi ini juga turut menutup operasinya. Namun ia bersifat sementara kerana ia kembali beroperasi sehari selepas itu. l

“Penduduk sudah naik muak dan berang dengan pusat judi berkenaan yang tidak teragak-agak menjalankan aktiviti haram malah ia semakin menjadi-jadi tersebut kerana ada yang menyatakan dalamnya seperti sebuah kasino,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk hanya ingin dikenali sebagai Johari, 37, penduduk memang tidak selesa dengan kewujudan pusat judi berkenaan dan kecewa memandangkan tiada tindakan susulan daripada pihak berkuasa walaupun sudah beberapa kali membuat pengaduan.

“Bagi penduduk mahupun Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) yang dilantik, kami tidak mempunyai kuasa sama ada untuk meroboh, menyita, menyerbu, mengarahkan penutupan dan sebagainya, hanya bergantung kepada tindakan pihak berkuasa untuk membantu.

“Dengan itu diharap ada pihak yang lebih bertanggungjawab dapat memastikan kegiatan menyalahi undang-undang ini dibanteras habis-habisan bimbang ia semakin merebak," katanya.