Pemilik lori sogok pegawai JPJ
Tertuduh (depan) difahamkan menjelaskan denda RM5,000 yang dikenakan ke atasnya setelah mengaku bersalah menyogok pegawai JPJ dua tahun lalu.
KUANTAN- Kedegilan seorang pengusaha syarikat pengangkutan untuk terus menyogok pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai dorongan untuk melepaskan lorinya yang didapati menggunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) palsu  menjerat diri sendiri.

Kedegilannya menyebabkan dia ditahan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang turut serta dalam  satu operasi  di jalan masuk ke Pelabuhan Kuantan, dekat sini, dua tahun lalu.

Hasil pemeriksaan ke atas lori yang turut dikesan membawa muatan paip melebihi had muatan itu mendapati LKM asalnya sudah tamat tempoh sejak 2005.

Tindakan, Yeoh Wah Bin, 47 dari Lorong Air Putih 99 di sini itu ditegur pengadu yang juga Ketua Pembantu Penguat kuasa Jalan, JPJ Putrajaya berulang kali namun dia terus berdegil untuk mengguna ‘cara’ itu bagi melepaskan lorinya.

Wang sogokan RM1,000 yang diletakkan dalam poket di belakang kerusi pemandu kenderaan JPJ yang dinaiki pengadu menjadi bukti kesalahan tertuduh sebelum dia ditahan pegawai SPRM untuk tindakan.

Kesalahan yang dilakukan dua tahun lalu itu mengheretnya ke mahkamah semalam sebelum dia dikenakan hukuman denda RM5,000 setelah mengaku bersalah dalam Mahkamah Sesyen Kuantan.

Tertuduh juga berdepan hukuman penjara tiga bulan jika gagal menjelaskan denda tersebut manakala wang rampasan dilucutkan hak dan diserahkan sebagai harta kerajaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan yang dikemukakan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Norazman Mohd Jaya, lori milik tertuduh yang dipandu pemandunya ditahan di jalan masuk Pelabuhan
Kuantan kira-kira jam 12 tengah hari, 9 Jun 2010 untuk pemeriksaan setelah didapati membawa lebih muatan.

Hasil pemeriksaan mendapati lori tersebut melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta pengangkutan Jalan 1953 kerana dipandu dengan LKM tamat tempoh.

Tertuduh yang cuba menyogok pegawai JPJ terbabit didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 214 Kanun keseksaan.

Mengambil kira pengakuan dan kesalahan yang dilakukan, Hakim Fathiyah Idris mengarahkan tertuduh membayar denda RM5,000.