GOPENG – Kemalangan membabitkan dua lori di Kilometer 305 Lebuh Raya Utara Selatan, di sini, menyebabkan sorang pemandu lori tersepit lebih 30 minit dalam kenderaan yang dipandunya, semalam.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soo memaklumkan, kejadian berlaku pada jam 8 pagi dan kenderaan dipandu mangsa telah merempuh belakang sebuah lori lain yang membawa muatan papan siling.

Katanya, mangsa yang berusia sekitar 20 an terpaksa menahan sakit apabila kakinya tersepit di tempat duduk pemandu kerana dihimpit stereng dan papan pemuka lori berkenaan.

"Semasa kejadian, lori yang dipandu mangsa sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh, manakala sebuah lori lagi juga datang dari arah sama.

"Tiba di tempat kejadian, lori yang dipandu mangsa dikatakan telah merempuh belakang lori membawa muatan papan itu secara tiba-tiba di lorong sebelah kiri lebuh raya berkenaan, menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk," katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampar telah dikejarkan ke lokasi kejadian untuk operasi mengeluarkan pemandu yang tersepit.

"Mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan, manakala pemandu sebuah lagi lori bersama kelindannya tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kita siasat kes ini mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.