SENAI - Seorang pemandu teksi ditahan selepas dipercayai mendera anak lelakinya berusia tujuh tahun di rumah mereka di Taman Sri Skudai, di sini semalam.
Lelaki berusia 41 tahun itu ditahan kira-kira jam 11.40 pagi selepas polis menerima maklumat orang ramai.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Beh Eng Lai berkata, ketika pemeriksaan, kanak-kanak terbabit dilihat mempunyai kesan lebam baru dan lama di seluruh badan.
“Kami menahan bapa kandung kanak-kanak terbabit selepas dia mengaku memukul anaknya dengan menggunakan penyangkut baju dan dia akan direman esok pagi (hari ini) untuk siasatan lanjut,” katanya, semalam.
Menurutnya, kanak-kanak terbabit dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk mendapatkan rawatan dan kes disiasat mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.