Search This Blog

Saturday, September 22, 2012

Pemandu teksi biadap ditahan

SEREMBAN - Seorang pemandu teksi ditahan kerana bertindak biadap dengan melanggar seorang anggota polis trafik sehingga cedera di tangan di Jalan Lintang, Sungai Ujong, di sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, petugas trafik berusia 29 tahun melakukan rondaan di tempat kejadian sebelum meminta pemandu teksi berusia 65 tahun itu mengalihkan kenderaannya berikutan menghalang lalu lintas.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, ketika mahu mengalihkan keretanya, pemandu itu bertindak melanggar polis trafik berpangkat konstabel itu hingga menyebabkan tangan kanan mangsa cedera dipercayai terkena cermin sisi.

“Lelaki itu langsung tidak memberhentikan kenderaannya menyebabkan polis trafik bertindak mengejar sebelum menahannya di hadapan Terminal One, di sini,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Saiful Azly berkata, sejurus selepas ditahan, suspek bersikap dingin dan enggan memberi kerjasama ketika diminta menunjukkan lesen dan MyKad untuk pemeriksaan.

“Suspek turut mengeluarkan kata-kata kesat menyebabkan mangsa terpaksa meminta bantuan rakan lain untuk menahan suspek.

“Suspek kini ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam,” katanya.

No comments:

Post a Comment