IPOH – Seorang pemandu lori terbunuh apabila lori yang dipandunya merempuh sebuah lori lain dalam kemalangan di Jalan Lumut – Ipoh berhampiran susur Lahat di sini, semalam.
Dalam nahas pada jam 10.20 pagi itu, Mohd Norhisham Harron, 30, berasal dari Pulau Pinang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian atas badan.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, lori yang dipandu mangsa dikatakan gagal dikawal lalu merempuh lori yang berada di hadapannya.
Menurutnya, kejadian itu berlaku di persimpangan lampu isyarat berhampiran susur keluar ke Lahat.
“Ketika kejadian, lori yang dipandu seorang warga Pakistan, Zulfikar Muridin, 40, dari Seri Iskandar tanpa muatan menuju ke Kanthan berhenti di lampu isyarat itu.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa mendapat kecederaan parah dan maut di tempat kejadian manakala, Zulfikat tidak cedera,” katanya di sini.
Wan Sharuddin berkata, polis turut mendapatkan bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.
“Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan punca kemalangan masih disiasat,” katanya.