Pelajar melecur semakin stabil
Keadaan Muhammad Ameer yang melecur tahap empat, cedera teruk di bahagian muka, tangan dan badan yang kini dirawat di ICU HUKM.
KUALA LUMPUR - Tiga pelajar sebuah sekolah di Taman Mulia, Bandar Tun Razak di sini yang melecur dalam kejadian Jumaat lalu kini stabil, namun masih memerlukan rawatan rapi.

Salah seorang daripada pelajar tersebut, Muhammad Ameer Shah Azahan, 16, mengalami kesan lecur paling serius apabila disahkan melecur tahap empat.

Ibunya, Suzailee Yusoff Marecan, 47, berkata, dia dimaklumkan pihak hospital anaknya perlu dirawat paling kurang dalam tiga minggu lagi atau sehingga tiga bulan bagi memastikan keadaannya kembali pulih.

Menurutnya, anaknya yang cedera di bahagian muka, tangan dan badan kini bergantung dengan ubat penahan sakit bagi menahan kepedihan kesan lecur yang dialaminya.

“Apabila kesan ubat hilang, dia akan menangis kerana tidak tahan sakit. Sebagai ibu, saya tidak sampai hati melihat dia berkeadaan begitu namun reda dengan apa yang terjadi.

“Namun, dalam masa sama, saya tetap merasa terkilan memikirkan anak saya terpaksa menanggung kesakitan atas kecuaian orang lain,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas lawatan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Bandar Tun Razak, di sini, semalam.

Raja Nong Chik menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) berjumlah RM1,000 dan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berupa wang RM300 serta barangan.

“Pihak YWP juga bersedia menyediakan tenaga pengajar peribadi bagi salah seorang mangsa yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada November nanti,” katanya.

Sementara itu, Zulkifli Mohd Noor, 52, bapa kepada mangsa, Mohd Fadzli Shah, 17, berkata, anaknya melecur tujuh peratus di bahagian badan dan kini dalam keadaan stabil.

Katanya, dia juga bimbang memikirkan anaknya perlu menduduki SPM, namun lega apabila pihak YWP bersedia menyediakan tenaga pengajar persendirian.

“Sayu bila lihat anak dalam keadaan begitu dan sejak kejadian, emosi saya agak terganggu,” katanya.

Lain pula ceritanya dengan Rahim Tahir, 53, bapa kepada Mohd Azrin Rahim, 16, apabila isterinya yang mengalami masalah jantung turut dimasukkan ke wad dua hari selepas kejadian yang menimpa anaknya.

Bagaimanapun, dia berharap agar ketiga-tiga mangsa sembuh cepat dan dapat melakukan aktiviti harian seperti biasa.

“Anak saya seorang yang aktif dalam olahraga dan menjadi olahragawan sekolah dua tahun berturut-turut, jadi saya harap dia dapat sembuh seperti sediakala,” katanya.

Dalam kejadian Jumaat lalu, kesemua mangsa sedang menyediakan makanan barbeku untuk jamuan Aidilfitri di sekolah mereka sebelum berlaku letupan dipercayai daripada tin ‘tinner’ yang dituang seorang guru lelaki untuk menyalakan api dan seterusnya menyambar mereka.