Search This Blog

Wednesday, September 26, 2012

Pasar raya disamun buat kali kelima




         
KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan warga Nepal hampir putus jari tangan kirinya akibat dicincang dua lelaki menggunakan parang ketika menyamun sebuah pasar raya di Zest Point, Jalan Bukit Jalil, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, tangan pengawal keselamatan berusia 30 tahun itu bukan saja dicincang malah kepala dan lengannya turut cedera ditetak ketika bergelut dengan dua lelaki itu.


Menurut saksi kejadian yang juga pengurus pasar raya itu Azifa Noranim Kamsari, 25, ketika kejadian dia menjaga kaunter di depan manakala seorang pekerja sedang mengira stok dalam stor manakala pengawal keselamatan pula mengambil minuman di peti ais.

“Saya menyedari kehadiran dua lelaki memakai topi dengan seorang masuk ke dalam mencari pengawal keselamatan dan seorang lagi berdiri di depan pintu pasar raya. Ketika itu, ada lima pelanggan dan saya sedang melayan mereka di kaunter.


“Selepas seorang daripada mereka menemui pengawal di bahagian peti minuman itu, lelaki terbabit terus bertindak mengacukan parang ke arahnya. Pengawal terbabit kemudian sempat bertindak memukul lelaki itu dengan cota hingga berlaku pergelutan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.


Azifa yang sudah lapan bulan bekerja di pasar raya itu berkata, seorang lagi lelaki yang pada mulanya menunggu di depan pasar raya turut masuk sebelum menetak kepala dan tangan pengawal terbabit dengan parang.

“Pelanggan yang menyedari kejadian samun berkenaan kemudian melarikan diri. Lelaki itu turut mengarahkan saya dan seorang lagi pekerja diam. Saya sempat melarikan diri ke bahagian stor dan menyorok kerana bimbang turut dicederakan.


“Kedua-dua lelaki itu kemudian melarikan wang tunai berjumlah lebih RM1,000 daripada mesin juruwang, beberapa barang jualan lain dan telefon bimbit milik saya,” katanya.

Seorang lagi pekerja pasar raya itu, Mahathir Mohamed Ibrahim, 21, berkata ketika kejadian, dia sedang mengira stok di bahagian stor dan hanya menyedari kejadian samun itu sebaik mendengar bunyi bising.


“Saya keluar mencari pengurus dan pengawal keselamatan. Saya lihat pengawal sedang dipukul dua lelaki. Pengurus saya yang sedang menyorok memanggil saya dan memberitahu mereka sebenarnya mahu menyamun.


“Saya lari keluar lalu menghubungi polis. Saya lihat kedua-dua lelaki itu bertindak melarikan diri ke arah sebuah stesen minyak berhampiran pasar raya. Selepas itu, saya tidak nampak mereka menaiki kenderaan apa,” katanya.


Difahamkan, kejadian samun itu kali kelima berlaku di pasar raya itu sejak hampir setahun beroperasi.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh mengesahkan kejadian itu dan berkata mangsa mengalami kecederaan di telinga dan tangan dihantar ke Hospital Serdang.


Menurutnya, pihaknya sudah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan kini memburu suspek itu bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment