KUALA SELANGOR - Hasrat pasangan suami isteri yang mahu membersihkan kebun pusaka milik keluarganya di Batu 18, Jeram dekat sini terbantut apabila mereka terkejut menemui bungkusan plastik merah berisi tengkorak manusia kira-kira jam 5 petang, kelmarin.

Seorang penduduk, Zailan Kamaruddin, 48, berkata, seperti biasa dia bersama isteri akan membersihkan kawasan kebun berhampiran jalan besar selepas Asar dan tidak menyangka akan menemui rangka tengkorak yang terletak di celah pokok pisang itu.

“Ketika isteri sedang leka menebas rumput di celah rimbunan pokok pisang, dia ternampak bungkusan pelik berwarna merah yang disangka berisi bola berikutan bentuknya bulat serta berwarna putih.

“Saya yang ketika itu pun turut membeleknya kerana menyangka ia hanya sampah biasa. Namun, saya terkejut apabila bungkusan itu rupa-rupanya tengkorak manusia,” katanya yang terus menghubungi Balai Polis Jeram untuk memaklumkan penemuan itu.

Zailan berkata, beberapa minit kemudian anggota polis datang dan mengambil keterangan mereka berdua sebelum kawasan itu ditutup untuk tujuan pemeriksaan dan siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Muhd Taib Ahmad mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung penemuan tengkorak manusia dewasa di kawasan yang diadu penduduk dan turut memaklumkan kepada Unit Forensik Ibu Pejabat Kontinjen Selangor dan skuad anjing pengesan (K9).

“Kita sehingga kini masih belum dapat memastikan sama ada ianya kes bunuh atau kes yang berkaitan sehingga siasatan lanjut dijalankan, bagaimanapun hasil siasat awal mendapati kes mengklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.

Sinar Harian difahamkan, tengkorak manusia dibawa ke Unit Patologi untuk siasatan lanjut manakala skuad anjing pengesan yang menjalankan gerakan mencari di sekitar jarak 100 meter di kawasan terbabit dilaporkan tidak menemui sebahagian lagi rangka itu.