AYER KEROH - Padah mencuri pakaian untuk diberikan kepada adiknya, seorang jurujual dihukum penjara sehari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.
V Rajesvari, 20, dijatuhi hukuman itu selepas mengekalkan pengakuan bersalah atas tuduhan mencuri di sebuah pasar raya, dua minggu lalu, di hadapan Majistret Syajaratudur Abd Rahman, semalam.
Berdasarkan pertuduhan, Rajesvari sebagai jurujual di sebuah pasar raya mencuri dua helai baju dan sehelai seluar kanak-kanak berjenama bernilai RM327 di pasar raya terbabit.
Tertuduh melakukan kesalahan itu antara jam 10 pagi dan 1.50 petang pada 21 Ogos 2012.
Dia didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda jika sabit kesalahan.
Dalam rayuannya, tertuduh meminta hukuman denda minima kerana perlu menanggung  adik-beradiknya dan akan bertunang bulan depan.
“Saya duduk di dalam lokap empat hari dan ia membuatkan saya benar-benar insaf. Saya berjanji tidak akan mengulangi kesalahan ini lagi,” katanya.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa, Inspektor Rosli Rasi meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal terhadap tertuduh yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Syajaratudur kemudian menjatuhkan hukuman sehari penjara dan denda RM1,000 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda.