Penagih
Penagih warga emas (kanan) yang turut berjaya ditahan pegawai dan anggota IPD dan IPK, dalam Ops tapis bersepadu pagi semalam.
Sebahagian penagih
Sebahagian penagih yang ditahan dibawa ke IPD Pengkalan Chepa, sebelum menjalani tahanan reman.
KOTA BHARU- Seorang lelaki separuh abad, lengkap berkopiah dan berpakaian kemas, merupakan antara 114 yang ditahan dalam ops tapis bersepadu yang dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Kontinjen Kelantan (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota
Bharu (IPD) bahagian Siasatan Narkotik dan Jenayah, di kawasan sekitar Kok Lanas dan Ketereh, di sini, awal pagi semalam.

Daripada 114 orang itu, tiga merupakan wanita dan selebihnya merupakan lelaki yang berusia antara 15 hingga  35 tahun. Dalam operasi sekitar jam 1 hingga 11 pagi itu, polis turut berjaya merampas 75 biji pil kuda jenis Yaba.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, serbuan dijalankan, hasil maklumat serta risikan anggota dan pegawai di kawasan yang dikenal pasti.

“Ia diketuai Inspektor Suhadi Saedon, dengan 84 anggota termasuk 12 pegawai yang menyertai operasi itu. Dengan kejayaan terbabit, Polis Kelantan berjaya melakukan tangkapan terbesar setakat tahun ini," katanya pada sidang media di IPD semalam.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan akan dibawa ke hadapan majistret untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi menyambung siasatan di bawah seksyen 15 (1) dan 12 (2) kerana kesalahan menagih dan memiliki dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Azham berkata, pihaknya juga turut merampas dua buah kereta jenis Proton Saga baru serta Perodua Viva dalam operasi itu, yang dilaporkan hilang di kawasan Ulu Klang, Ampang di Kuala Lumpur dan di Ketereh.

“Operasi ini dilakukan bagi membanteras kegiatan jenayah dan penagihan dadah. Kita akan meneruskan operasi seumpama ini bagi mengesan kawasan yang menjadi sarang penagih dadah di sekitar Kota Bharu bagi membanteras gejala ini,” katanya.