Menyamar untuk rompak
Wan Ab Bari (dua, kanan) menunjukkan rambut palsu yang dipercayai digunakan suspek untuk menyamar sebelum merompak sebuah premis perniagaan.
KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan kegiatan dua penjenayah yang menyamar sebagai pelanggan sebelum bertindak merompak sebuah premis perniagaan dalam serbuan berasingan, Sabtu lalu.

Suspek lelaki yang berusia 29 tahun bersama rakannya, wanita berusia 26, ditahan di Taman Segar dan Cheras kira-kira jam 6 pagi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Ab Bari Wan Ab Khalid berkata, pihaknya merampas cota, beg tangan, dompet, rambut palsu, serangkai anak kunci dan sebuah kereta Perodua Myvi.

Menurutnya, modus operandi yang digunakan suspek adalah menyamar sebagai pelanggan untuk memasuki premis peniagaan dan menjalankan aktiviti ketika tiada pelanggan di dalam premis tersebut.

“Suspek akan mengambil pelbagai barangan yang mudah dibawa termasuk wang tunai, telefon bimbit dan komputer riba untuk dijual semula.

“Kedua-dua suspek yang tidak bekerja ini akan menjual barangan curi mereka,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di sini, semalam.

Wan Ab Bari berkata, suspek ditahan reman sehingga 20 September ini bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, penahanan kedua-dua suspek hasil siasatan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebuah premis perniagaan kanak-kanak yang disamun pada 26 Ogos lalu.

Menurutnya, susulan daripada penahanan dua suspek tersebut, seorang jurujual telefon berusia 17 tahun ditahan di Taman Cahaya, Ampang kerana dipercayai membeli barangan curi daripada suspek.

“Polis turut menahan wanita berusia 53 tahun di Taman Segar, Cheras dan merampas satu Ipad dan sehelai seluar pendek dipercayai barangan curi.

“Mereka dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.

Wan Ab Bari berkata, dengan tangkapan tersebut, pihaknya berjaya menyelesaikan tiga kes samun di Brickfields dan Kepong.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana merompak dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki barang curi.