Jenazah Amran diusung ahli keluarga
Jenazah Amran diusung ahli keluarga untuk dibawa pulang sebaik selesai bedah siasat di Hospital Kepala Batas selepas ditemui lemas ketika mencari kepah di Kuala Muda, Penaga.
PENAGA - Seorang pekerja kilang yang hilang ketika mencari kepah di pantai Kuala Muda, di sini tengah hari kelmarin ditemui mati lemas, pagi semalam.

Amran Mohd Yusuf, 28, anak kedua pasangan Mohd Yusuf Ahmad, 54, kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kulim dan suri rumah, Rojiha Sabar, 52, ditemui jam 7.50 pagi.

Mangsa yang tinggal di Taman Mahsuri, Padang Serai, Kulim dikhuatiri lemas pada jam 11 pagi kelmarin ketika bersama kembarnya, Amir, rakannya Shahrulnizam A Rani, 39, dan Azly Firdaus, 13, mencari kepah.

Pegawai Operasi Bomba yang juga Komandan Gerakan Mencari dan Menyelamat Kuala Muda, Pegawai Kanan Bomba Zahinur Hamzah berkata, Amran ditemui tersangkut di celah pokok kayu oleh nelayan yang meneruskan gerakan mencari selepas ia dihentikan petang kelmarin.

“Mangsa ditemui terapung lebih kurang 200 meter dari tempat dia dipercayai hilang, di muara sungai Kuala Muda berdekatan Kampung Pulau Mertajam di sini.
“Semasa ditemui, bahagian mukanya dipenuhi lumpur. Mayatnya dihantar untuk bedah siasat di Unit Forensik, Hospital Kepala Batas sebelum dituntut ahli keluarganya,” katanya.

Dalam pada itu, suasana di Unit Forensik hospital berkenaan sepi dan sayu biarpun dipenuhi waris terdekat, sanak saudara dan rakan mangsa yang datang menantikan jenazahnya.

Malah ibunya, Rojiha beberapa kali pengsan dan terpaksa ditenteramkan oleh ahli keluarga terdekat semasa diberi peluang melihat anak keduanya itu sebelum dikapankan dan dibawa keluar untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek, Padang Serai, Kulim sejurus selepas itu.