Search This Blog

Wednesday, September 26, 2012

Mati tersepit lebih sejam




         
KAMPAR: “Dia sempat memberi saya wang saku RM20, manakala anak saudaranya turut diberikan RM10 sebelum dia keluar rumah. Saya tidak menyangka ia pemberian terakhir Syahir sebelum maut dalam nahas jalan raya,” kata bapa mangsa, Mohd Said, 59.

Dalam kejadian jam 3.45 pagi semalam, mangsa yang juga kelindan lori berkenaan, Mohd Syahir Mohd, 24, maut apabila lori yang dinaikinya terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga lori di di kilometer 306, Lebuhraya Utara-Selatan, berhampiran Tapah, di sini, semalam.


Dalam kemalangan ngeri itu, Syahir tersepit lebih satu jam sebelum dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan teruk di kepala dan beberapa anggota tubuh.

Mohd Said ketika ditemui wartawan di Unit Forensik, Hospital Kampar, di sini, semalam, berkata anaknya itu yang tinggal bersamanya di Bukit Katil, Melaka, kerap bertugas menghantar barangan ke utara tanah air.


Menurutnya, Syahir sering memaklumkan kepadanya berhubung tugasan rutin menghantar barangan ke Pulau Pinang setiap hari Isnin dan pulang lewat malam Rabu.


“Sebelum kejadian, arwah memaklumkan dia menghantar barang ke Pulau Pinang. Dia tidak menunjukkan sebagai keganjilan selain sempat memberi wang kepada saya,” katanya.

Menurutnya, Syahir turut mengirimkan khidmat pesanan ringkas (SMS), kepada kakaknya beberapa jam sebelum kejadian memberitahu mahu meminjam kereta sebaik pulang dari tugas Rabu nanti (hari ini).


“Arwah cukup rapat dan suka melayan anak saudaranya. Kehilangannya amat saya rasai,” katanya sugul.

Sementara itu, jenazah mangsa yang selesai dibedah siasat kemudian dihantar pulang ke Bukit Katil, Melaka, untuk dikebumikan jam 1 tengah hari semalam.

No comments:

Post a Comment