Mat rempit kena tahan
Motosikal yang ditahan di IPD Melaka Tengah bagi tujuan pemeriksaan, awal pagi kelmarin.
SEMABOK - Seorang remaja, antara yang ditahan dalam Operasi Mat Rempit oleh polis cawangan trafik dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Melaka Tengah bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehuddin Abd Rahman berkata, remaja berumur lingkungan 17 tahun itu ditahan kerana disyaki menunggang motosikal secara berbahaya dalam operasi di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) berhampiran Jambatan Semabok.

Menurutnya, remaja yang berasal dari Bachang itu akan didakwa di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang motosikal secara berbahaya.

“Operasi ini diketuai Asisten Superintendan V Gunasegaran untuk mengesan penunggang motosikal yang melakukan kesalahan lalu-lintas.

"Kita juga turut menyasarkan untuk mengesan motosikal curi,” katanya.

Sementara itu, Gunasegaran berkata, polis menahan hampir 70 motosikal atas pelbagai kesalahan.

“Kita telah mengarahkan penunggang motosikal berkenaan membawa motosikal masing-masing ke IPD Melaka Tengah untuk pemeriksaan.

“Hasilnya, kita telah mengeluarkan sebanyak 36 saman dan menyita lapan motosikal,” katanya.