Search This Blog

Saturday, September 15, 2012

Mangsa mati di klinik disah maut dibunuh




         
SHAH ALAM: Kematian seorang wanita Indonesia yang pada mulanya disiasat sebagai kes mati mengejut (SDR) bertukar kepada kes bunuh apabila hasil bedah siasat mengesahkan mangsa mati akibat pendarahan teruk di kepala dipercayai dipukul, Selasa lalu.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 22 tahun dibawa seorang ejen pekerjaan warga tempatan dan kakaknya ke sebuah klinik di Desa Tun Razak, Cheras selepas mangsa mengadu sakit kepala.


Difahamkan, mangsa menumpang di rumah ejen terbabit di Taman Perindustrian Kinrara, Puchong.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor (Siasatan Perundangan), Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa berkata, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di klinik berkenaan.


Katanya, mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat. Laporan dibuat pihak hospital dan kes disiasat sebagai kematian mengejut. “Bagaimanapun, hasil bedah siasat melaporkan ada kesan hentakan objek di kepala mangsa dan menjadi punca kematiannya.


“Sebaik menerima laporan bedah siasat daripada PPUM, polis memanggil empat wanita berusia 27 hingga 36 tahun iaitu masing-masing seorang ejen sebuah syarikat pembantu rumah, seorang wanita tempatan selain wanita seorang warga Indonesia dan Vietnam yang bekerja sebagai pembantu rumah,” katanya.

Beliau berkata, mereka ditahan pada jam 6.30 petang hari sama sejurus diambil keterangan berikutan maklumat yang dikemukakan bercanggah dengan laporan hospital.


Rusdi berkata, siasatan mendapati suspek yang juga ejen pembantu rumah membawa mangsa tinggal di rumah kakaknya sementara menunggu mangsa menerima tawaran pekerjaan.

Katanya, mangsa juga dilaporkan pernah bekerja di negara ini sebelum ini, namun menggunakan khidmat ejen berkenaan untuk mendapatkan kerja.


Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment