Keputusan itu ditetapkan Hakim Mahkamah Tinggi, Kamardin Hashim ke atas Mohd Man, 55, yang sebelum ini dikenakan hukuman penjara 17 tahun dan 5 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, 30 Mac tahun lalu.

Bagaimanapun, mahkamah mengetepikan hukuman lima sebatan yang dikenakan ke atas tertuduh kerana menurut Seksyen 289 C Kanun Tatacara Jenayah, pesalah berusia 50 tahun tidak dikenakan hukuman sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memohon agar mahkamah menambah hukuman penjara ke atas tertuduh kepada 20 tahun, oleh kerana tertuduh tidak dikenakan hukuman sebatan.

Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan berkenaan.

Dalam hujahannya, Ahmad Akram berkata, sebagai ketua keluarga sepatutnya insaf, bukan  merogol anaknya sendiri di hadapan anak lain.

Menurut pendakwaan, Mohd turut mempunyai 18 rekod lampau sejak 1976, termasuk dua kes cabul dan beberapa kes jenayah lain.

“Dia sepatutnya mempertahan maruah anaknya, tetapi merosakkan masa depan gadis tersebut, ia satu kesalahan yang tidak boleh dimaafkan,” katanya.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada enam anak itu didakwa merogol gadis berusia 14 tahun 7 bulan yang juga salah seorang anaknya dalam sebuah bilik di Taman Sri Sentosa, Jalan Kelang Lama, sekitar jam 6.30 petang, 25 Mei lalu.