Search This Blog

Saturday, September 29, 2012

Longkang pecah, rumah retak


AZLI Noh menunjukkan tembok di bahagian belakang rumahnya dan jirannya
yang rosak akibat tanah mendap di Seksyen 5, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR 28 Sept. - Penduduk rumah teres dua tingkat di Lorong 2/27C, Seksyen 5, Wangsa Maju menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membina tembok di belakang rumah bagi menghalang berlaku mendapan tanah yang lebih teruk.
Empat buah rumah di lorong itu terjejas teruk sejak tebing longkang di belakang rumah mereka runtuh pada 3 Mei lalu. Rentetan daripada kejadian itu bahagian kawasan belakang rumah penduduk terlibat mendap dan mereka khuatir boleh membahayakan nyawa jika tidak diambil tindakan pembaikan segera.
Salah seorang pemilik rumah yang terlibat, Azli Noh, 65, berkata, selepas tebing longkang itu runtuh, pihak DBKL telah memasang penahan bagi mengelakkan tanah terus mendap.
Bagaimanapun, katanya, apabila longkang baru siap, mendapan berlaku semula setelah cerucuk penahan tersebut dicabut.
Katanya, masalah itu menyebabkan tembok belakang rumahnya runtuh akibat mendapan tanah dan dibimbangi akan menjadi lebih teruk jika tidak diambil tindakan.
"Bukan itu sahaja, rumah saya turut retak dengan teruk di tingkat atas sehingga menyebabkan kami sekeluarga susah hati dan tidak boleh tidur lena kerana takut berlaku perkara tidak diingini.
"Kerana takut jadi lebih teruk, saya telah mengambil langkah membina penahan di bahagian belakang rumah yang menelan kos RM8,000. Tetapi kalau nak ikut jumlah kerugian yang dialami saya anggarkan RM50,000," katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Sementara itu, jirannya, Faridah Mohd. Salleh, 54, berkata Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib pernah melawat rumah mereka pada Julai lalu dan memberitahu pihaknya akan membaik pulih kerosakan di belakang rumahnya tetapi sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan susulan dilakukan.
"Apa yang kami harapkan ialah tembok penahan dapat dibina dengan segera supaya keselamatan penduduk lebih terjamin.
"Ini adalah bagi memastikan keselamatan penduduk di sini kerana apabila hujan kami bimbang akan terjadi lagi mendapan," ujarnya.
Pengerusi Sukarelawan Peguam Untuk Semua (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana dalam menyediakan infrastruktur, aspek yang penting adalah penyenggaraan.
Menurutnya, sekiranya perkara buruk berlaku ia boleh melibatkan kehilangan nyawa dan pihak berkuasa tempatan terbabit boleh dianggap cuai.
"Tindakan SukaGuam sekarang ialah melihat apakah reaksi DBKL setelah perkara ini disiarkan oleh pihak media.
"Jika DBKL masih tidak mengambil apa-apa tindakan maka kami akan ke pejabat DBKL bagi membincangkan perkara ini dengan membawa pihak yang berkenaan," jelasnya yang melawat kawasan terjejas itu selepas mendapat aduan penduduk.
Tambahnya, beliau telah menerima 35 aduan sejak tiga bulan lepas mengenai masalah penyenggaraan.

No comments:

Post a Comment