Bilik Pameran Kereta Honda Bandar Sungai Long yang dipecah masuk penjenayah, semalam.
Bilik Pameran Kereta Honda Bandar Sungai Long yang dipecah masuk penjenayah, semalam.
KAJANG- Dalam tempoh tiga jam, lima kenderaan dilarikan apabila aras bawah bilik pameran kereta di Bandar Sungai Long, dipecah masuk lebih 10 penjenayah kira-kira jam 3 pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Azman Ayob berkata, kesemua perompak yang tidak bertopeng dan bersenjatakan parang, kapak serta pisau memecah masuk bilik pameran berkenaan selepas mengikat dua pengawal keselamatan bertugas.

Menurutnya, sebuah kenderaan jenis Honda Civic, Honda CRV dan tiga buah Honda Accord dilarikan, melibatkan kerugian lebih RM500,000.

“Polis menerima laporan kira-kira jam 7 pagi selepas dua pengawal keselamatan yang diikat dapat melepaskan diri dan menghubungi polis.

“Polis percaya selepas memecah masuk, dua daripada perompak turut menyamar sebagai pengawal keselamatan dan berkawal di pintu masuk manakala yang lain memasuki bilik pameran dan melarikan lima kenderaan yang dipamerkan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Azman berkata, bilik pameran kereta tersebut baru dibuka awal tahun dan ketika kejadian, s lebih 30 kenderaan baru sedang dipamerkan di situ.

Beliau berkata, pihak polis masih belum pasti sama ada kenderaan dilarikan sudah dijual atau sebaliknya. Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.