Search This Blog

Thursday, September 13, 2012

Letupan tong gas berapi



Oleh Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my
         
MELAKA: “Ketika sibuk memasak, saya terperanjat apabila terdengar letupan kuat tong gas sebelum mengeluarkan api seterusnya menyambar keseluruhan dapur.

“Saya bergegas untuk cuba menyelamatkan beberapa dokumen penting, tetapi gagal berikutan api terlalu marak dan mujur sempat menarik keluar anak lelaki yang turut berada di tempat kejadian,” kata Mariana Tau, 47, pemilik gerai makan di Medan Selera Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Sungai Udang di sini, yang musnah terbakar, semalam. Kejadian jam 9.30 pagi itu turut menyebabkan ibu anak empat itu cedera di tangan kanan akibat melecur ketika cuba menyelamatkan beberapa barangan dan dokumen penting dan sejumlah wang tunai. Bagaimanapun, tindakan pantas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat membawa keluar beberapa tong gas dari dalam premis itu menghalang api daripada merebak ke empat premis lain.


Kebakaran itu memusnahkan hampir keseluruhan bahagian dapur gerai berkenaan dan selain dokumen penting, mangsa turut kehilangan telefon bimbit dan wang tunai dengan kerugian dianggarkan RM40,000.

Mariana berkata, ketika kejadian, dia sibuk melakukan rutin hariannya sejak dua tahun lalu iaitu menyediakan masakan lauk-pauk untuk dijual kepada pelanggan.


“Namun, tiba-tiba saya terdengar letupan dan mendapati api menyambar dari tong gas yang digunakan.


“Tanpa berfikir panjang, saya cuba menyelamatkan dompet berisi dokumen penting terutama kad pengenalan selain wang tunai dan tiga telefon bimbit di dapur, tetapi tidak sempat kerana api semakin marak. “Dalam keadaan panik itu, saya membawa keluar anak (Muhammad Yusof Norazlan, 21) ke kawasan lebih selamat. Mujur saya hanya cedera ringan di tangan kanan akibat terkena api,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian. Ahli Majlis MBMB, Abd Jameel Abd Jabbar hadir meninjau gerai berkenaan.

Katanya, walaupun kerugian ribuan ringgit, dia bersyukur kerana tiada kejadian lebih buruk berlaku dan tidak membabitkan premis lain. Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Tangga Batu, Abdul Rashid Becik berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 9.44 pagi. “Seramai 24 pegawai dan anggota bersama tiga jentera masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu, Masjid Tanah dan Ayer Keroh dikerah memadamkan kebakaran. “Pemeriksaan mendapati api sedang marak di dapur gerai itu dan segera membawa beberapa tong gas bagi mengelak ia meletup sekali gus merebak ke premis lain. Api bagaimanapun berjaya dikawal dalam tempoh tiga minit,” katanya yang turut menerima bantuan sebuah jentera dari Kem Terendak.


Menurutnya, siasatan mengenai punca sebenar kejadian dan nilai kerugian sedang dijalankan.

No comments:

Post a Comment