Search This Blog

Wednesday, September 5, 2012

Lerai ikatan



Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my
         
KUALA LUMPUR: Empat lelaki bertindak nekad memecah masuk ke bilik simpanan wang sebuah pasar raya di Taman Wahyu, di sini, dan mengikat pengurus keselamatan sebelum melarikan hasil jualan pasar raya itu yang bernilai lebih RM500,000, tengah malam semalam.

Bagaimanapun, malang tidak berbau buat dua daripada empat suspek itu apabila mereka dicekup semula dalam kawasan pasar raya itu dalam tempoh dua jam kemudian.


Sumber polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah malam itu, empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang menceroboh masuk ke dalam bilik simpanan wang sebelum menolak pengurus keselamatan ke lantai dan mengikatnya.

Menurutnya, empat lelaki itu bertindak pantas dengan memasukkan wang jualan untuk hari Sabtu, Ahad dan Isnin bernilai lebih RM500,000 ke dalam sebuah beg plastik selain mengambil beberapa kotak rokok yang disimpan dalam bilik berkenaan.


“Berdasarkan pertuturan mereka, seorang lagi suspek sudah sedia menunggu di luar premis berkenaan dan sebaik mereka keluar, pengurus keselamatan itu berjaya meleraikan ikatannya dan keluar untuk meminta pertolongan.


“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul yang menerima maklumat kemudiannya menghantar sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah yang bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan pemeriksaan.

“Ketika meninjau kawasan berkenaan mereka nampak dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di sebuah bilik di tingkat bawah dan menahan kedua-dua suspek sebelum membawa mereka ke IPD Sentul untuk siasatan lanjut,” katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Beliau berkata, kedua-dua suspek berusia 20 dan 34 tahun yang berasal dari Batu Caves itu berjaya ditahan di lokasi kejadian manakala rakan suspek melarikan diri bersama wang tunai yang dirompak di pasar raya terbabit dan usaha mencari masih lagi dijalankan.


“Kedua-dua suspek ditahan reman untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment