Lelaki direman bantu siasatan kes tipu kad kredit
Seorang lelaki 27 tahun ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan polis berhubung kes memalsukan maklumat yang melibatkan sejumlah 29 kad kredit. - Foto Bernama
KUCHING - Seorang lelaki berusia 27 tahun hari ini ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan kes memalsukan maklumat melibatkan 29 kad kredit, di sini.
  
Perintah itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Kanan, Brian Bryan Mason yang bersidang sebagai Majistret selepas pegawai penyiasat, Insp Mohar Mustaqeem Ali Seman mengemukakan permohonan itu.
  
Suspek yang ditahan semalam dipercayai terlibat dalam sindiket memperoleh maklumat peribadi secara haram dan kemudian menggunakanya untuk permohonan kad kredit.
  
Operasi sindiket berkenaan terbongkar berikutan penahanan seorang wanita berusia 37 tahun yang memiliki kad kredit, pada 30 Ogos lepas.
  
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan. - Bernama