Search This Blog

Wednesday, September 5, 2012

Lelaki datang membantu rupanya penyamun




         
KUALA LUMPUR: Malang bagi seorang lelaki yang mahu menukar tayar keretanya yang pancit apabila dia disamun dalam kejadian di Bandar Bukit Mahkota, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa yang berusia 24 tahun dari Puchong dikatakan dalam perjalanan pulang dari Seremban dan mengalami kerugian sebanyak RM8,000 kerana disamun.


Sumber berkata, sebaik tiba di persimpangan jalan berkenaan berhampiran Nilai, Negeri Sembilan mangsa terpaksa berhenti di tepi jalan untuk menukar tayar keretanya yang pancit.

“Ketika dia sedang menukar tayar belakang keretanya, seorang lelaki yang menaiki sebuah kereta Proton Saga secara tiba-tiba berhenti di depan keretanya seakan cuba untuk menghulurkan bantuan.


“Mangsa yang menyangkakan lelaki itu mahu membantu hanya melihat dan terkejut sebaik melihat suspek terus membuka pintu kereta di bahagian tempat duduk depan sebelum membawa lari beg sandang miliknya,” katanya.


Katanya, mangsa kemudiannya cuba untuk mengejar kereta suspek sebelum menumbuk cermin bahagian penumpang depan untuk menggagalkan tindakan lelaki terbabit namun usahanya itu tidak membuahkan hasil.

Bagaimanapun, lelaki itu berjaya memecut kereta dan melarikan diri manakala mangsa mengalami luka di lengan kanan akibat terkena serpihan cermin.


“Sebaik selesai menukar tayar keretanya, mangsa cuba menjejaki kereta lelaki berkenaan berpandukan Sistem Posisi Global (GPS) iPad miliknya yang tersimpan di dalam beg sandang,” katanya.

Menurut sumber, usaha mangsa itu tidak berjaya dan petunjuk GPS gagal dikesan menyebabkan dia tampil membuat laporan polis Balai Polis Pudu awal pagi semalam.


Katanya, mangsa kerugian RM8,000 termasuk komputer riba, iPad, pelbagai peralatan komputer, dokumen peribadi dan wang tunai RM200.

No comments:

Post a Comment