JAKARTA - Sekurang-kurangnya lapan maut apabila feri KMP Bahuga Jaya yang membawa puluhan kenderaan dan lebih 200 penumpang karam, setelah dipercayai berlanggar dengan sebuah kapal lain di perairan Selat Sunda hari ini.

Media tempatan memetik kenyataan penumpang yang terselamat bahawa feri itu tenggelam setelah berlanggar dengan sebuah kapal tangki, namun pihak berkuasa belum mengesahkan mengenai punca kemalangan.

Agensi berita Antara memetik Pengurus Operasi syarikat PT ASDP Indonesia Ferry cawangan Bakauheni, Heru Purwanto sebagai berkata bahawa sehingga kini lapan penumpang dilaporkan meninggal dunia dalam kejadian pada pukul 4.20 pagi itu.

Feri itu tenggelam kira-kira empat batu dari Pelabuhan Bakauheni, Lampung Selatan ketika dalam perjalanan dari Pelabuhan Merak, Banten menuju Bakauheni.

"Kapal feri itu mengalami robek di bahagian sisinya," kata Heru.

Sementara itu portal berita okezonenews memetik Heru sebagai berkata feri malang berkenaan dipercayai membawa lebih 210 penumpang namun jumlah sebenar belum dapat dipastikan.

Operasi mencari dan menyelamat sedang berjalan dan sehingga kini puluhan penumpang berjaya diselamatkan.- Bernama