Kutu rayau berani peras ugut
Lokasi ini yang menjadi tumpuan kutu rayau untuk meminta wang daripada orang ramai.
KUANTAN – Ahli Persatuan Pemandu Teksi/Kereta Sewa Jalan Pasar Baru, di sini memohon kerjasama pihak berkuasa untuk meningkatkan rondaan di sekitar kawasan itu berikutan kehadiran sekumpulan remaja yang sering membuat kacau di situ.

Pengerusinya, Mohammad Jusoh, 63, berkata, sekumpulan remaja itu bukan sahaja berpelesiran di tempat gelap dan sunyi malah sudah berani meminta wang atau barangan berharga daripada orang ramai yang lalu lalang di kawasan itu.

“Setiap hari, mereka akan datang ke sini sekitar jam 7.30 malam hingga 11 malam. Kerja mereka merayau tidak tentu arah dan mencari mangsa untuk mendapatkan wang,” katanya ketika ditemui semalam.

Mohamad mendakwa, kumpulan remaja itu terdiri daripada 15 orang termasuk lelaki dan perempuan yang berusia dalam lingkungan 16 hingga 21 tahun.

“Jika mangsa tidak memberikan wang atau barangan yang diminta, mereka akan bertindak kasar seolah-olah samseng. Kadangkala kami cuba menegur, namun teguran itu ibarat mencurah air ke daun keladi.

“Sedikit pun mereka tidak berasa takut, malah lebih aktif melakukan perkara tidak bermoral itu,” katanya.

Tambahnya, dia bimbang sekiranya masalah ini tidak diselesaikan secepat mungkin, orang ramai takut untuk datang ke sini sekali gus menutup periuk nasi mereka.

“Bayangkanlah jika mereka terus membuat kacau di sini, tidak mustahil satu hari nanti tempat ini akan menjadi lebih sunyi pada waktu malam kerana tiada yang berani datang ke sini.

“Kami sudah membuat laporan polis tetapi agak kecewa kerana anggota yang datang sekadar membuat rondaan tanpa turun dari kereta untuk melihat sendiri kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman Abas, 66, berkata, selain meminta wang dan barang-barang berharga, kumpulan remaja terbabit turut didakwa menjalankan aktiviti menghisap gam di padang berhampiran stesen bas ketika lewat malam.

“Mereka menjadikan tempat-tempat gelap dan sunyi sebagai ‘port’ untuk menghisap gam dan salah satu tempatnya adalah di padang itu.

“Saya harap, pihak bertanggungjawab akan mengambil tindakan sewajarnya supaya aktiviti tidak sihat ini tidak terus melarat,” katanya.