Korban nyawa demi adik ipar
Ismail (dua, kanan) yang dalam keletihan dipapah penduduk kampung untuk dibawa ke Hospital Tumpat bagi menerima rawatan, semalam.
KELANTAN – Seorang nelayan warga Thailand dikhuatiri lemas apabila bot enjin galah yang dinaiki mereka terbalik dipukul ombak besar berhampiran Kuala Tujuh, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira–kira jam 3 pagi, mangsa Che Seman Che Hassan, 54, menaiki bot tersebut bersama adik iparnya, Ismail Awang Seman, 54, untuk menangkap ikan di perairan Malaysia.

Ismail selamat tetapi bertarung dengan maut selama dua jam terapung di tengah laut sebelum berjaya menyelamatkan diri berenang ke pantai sejauh hampir 300 meter selepas berpaut pada pelampung di sebatang kayu alat menangkap ikan.

Ismail berkata, dia bersyukur selamat daripada malapetaka itu walau pun ombak setinggi satu meter memukul botnya menyebabkan botnya terbalik dan karam.

“Saya terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan abang ipar saya, dia tidak pandai berenang.

“Masa terapung bersamanya, abang ipar saya sempat memegang kolar baju saya tetapi saya terpaksa menyuruhnya lepaskan kolar tersebut.

“Kalau abang terus pegang kolar baju saya, kita akan lemas bersama, saya sudah tiada tenaga untuk berenang mengapungkan diri di tengah laut ini,” katanya ketika ditemui di Kuala Tujuh.

Ismail berkata, abang iparnya akur dan melepaskan pegangannya itu dan dia terus hilang dari pandangan.

“Sebelum dia tenggelam, dia sempat beritahu saya, aku mati dulu pada mu….

“Beberapa minit selepas itu, tiba-tiba ada kayu hanyut di pangkalnya ada pelampung (alat menangkap ikan) lalu di hadapan saya.

“Saya yang dalam keletihan berpaut pada pelampung itu dan cuba berenang sekuat hati ke pantai.

“Masa saya terdampar di pantai dalam samar-samar waktu subuh saya ternampak kelibat manusia lalu saya meminta tolong daripada mereka,” katanya.

Menurutnya, nasib baik di pantai ini (Kuala Tujuh) ada penduduk kampung dan meminta pertolongan mereka membuat unggun api kerana badannya kebas kesejukan.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Ahmed Mazdan Jusof berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.47 pagi dan bantuan terdiri daripada Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari Balai Bomba Pengkalan Kubor bergegas ke lokasi kejadian.

“Seramai tujuh anggota PPDA dan empat anggota operasi bomba ke lokasi mencari mangsa yang dikhuatiri lemas selepas botnya terbalik,” katanya.

Menurutnya, mangsa turun ke laut tidak bersendirian kerana ada dua bot lagi turun bersamanya dan setiap bot ada dua nelayan.

“Hanya bot mangsa selepas melepasi Kuala Tujuh terbalik, manakala dua lagi tidak apa-apa,” katanya.

Sehingga jam 5 petang semalam, operasi mencari Che Seman diteruskan bersama Pasukan Polis Marin Pengkalan Kubor, Pasukan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).