Kilang terbakar tidak patah semangat pemilik
Jacq dan Lim mencari barang-barang yang boleh digunakan semula di kilang biskut mereka yang terbakar Jumaat lalu.
KUANTAN - Biarpun kilang biskut mereka terbakar seminggu yang lalu, namun bagi Andrew dan Jacq Lim mahu membina semula empayar perniagaan mereka lebih baik daripada sebelum ini.

Jacq berkata, kesedihan tidak mampu mengembalikan semula kilang mereka yang musnah itu, namun kepercayaan dan usaha boleh membuatkan mereka bangkit semula menggapai kejayaan.

Menurutnya, kilang terbabit yang berusia hampir 30 tahun adalah warisan keluarga dan dia tidak mahu menjadikan kejadian malang itu alasan berhenti mengusahakan perniagaan.

“Kilang ini pada awalnya adalah sebuah rumah yang sudah empat generasi tinggal di sini, manakala kilang biskut pula sudah dua generasi, tetapi kejadian malang ini menyebabkan kami kerugian hampir RM100,000 dan banyak mesin terbakar.
Kami kini tidak boleh mengeksport biskut lagi.

“Bagaimanapun dengan bantuan daripada pihak atasan, saya harap kami dapat membina semula sebuah kilang kecil untuk kami hasilkan biskut sepertimana dahulu,” katanya.

Jacq berkata, kejadian itu disifatkan sebagai dugaan alam perniagaan yang harus ditempuhi oleh usahawan seperti mereka untuk bangkit dan pergi lebih jauh.

Katanya, perusahaan mereka sudah memiliki pasaran sehingga ke negara jiran.

“Ini adalah perniagaan turun temurun dan resipi biskut ini juga daripada keluarga. Walaupun kilang yang kami usahakan ini tidak sebesar kilang biskut lain, tetapi ia mempunyai identiti tersendiri bukan kepada kami sahaja, malah untuk kawasan Sungai Lembing.

“Kami harap dapat bantuan daripada mana-mana pihak supaya boleh meneruskan legasi perniagaan ini,” katanya.