Ketua sindiket dadah miliki harta luar biasa di Malaysia, Nigeria
Noor Rashid (dua,kanan) menunjukkan rampasan bagasi yang menempatkan dadah jenis syabu dan heroin selepas polis menahan ketua sindiket, teman wanita serta rakan mereka, baru-bar
KUALA LUMPUR – Ketua sindiket penyeludupan dadah antarabangsa yang ditahan Sabtu lalu memiliki harta kekayaan luar biasa di sini dan negara asalnya, Nigeria.

Dengan hanya memperoleh wang hasil aktiviti haram tersebut, dia mampu membeli sebuah banglo di Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan dan mempunyai dua buah kereta mewah jenis BMW serta Toyota Camry.

Lebih mengejutkan, lelaki berusia 32 tahun itu mempunyai sebuah hotel di negara asalnya, selain turut menghantar pulang wang penjualan dadah dipercayai untuk kegunaan keluarga dan konco-konconya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, rahsia kekayaannya terbongkar selepas polis menahan suspek bersama teman wanitanya, warga tempatan, berusia 31 tahun, di banglo tersebut.

“Suspek merupakan ketua salah sebuah sindiket penyeludupan dadah. Dia merupakan perancang yang mengaturkan kemasukan dadah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Dia juga akan menentukan modus operandi untuk membawa masuk dadah bagi mengaburi mata penguat kuasa,” katanya di Bukit Aman, semalam.

Beliau berkata, siasatan mendapati teman wanita yang tinggal bersamanya itu mengetahui penglibatan suspek dalam kegiatan penyeludupan dadah.
Noor Rashid berkata, polis mula mengesan suspek sejak enam bulan lalu selepas mendapat maklumat berhubung kegiatannya.
“Kita masih menyiasat sejak bila suspek mula terlibat dan menjadikan negara sebagai transit dadah. Konco-konco dan rangkaian sindiket juga sedang dikenal pasti,” katanya.
Beliau berkata, suspek ditahan reman sehingga Jumaat ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua harta kekayaan suspek di dalam negara ini disita.
Ahad lalu, Sinar Harian melaporkan rahsia pasangan kekasih itu terbongkar selepas polis menahan rakan lelaki mereka, warga Nigeria, berusia 35 tahun di sebuah apartmen di Taman Sri Hartamas, Jumaat lalu.
Polis merampas 19 bagasi mengandungi 26 bungkusan plastik dadah jenis syabu seberat 26.8 kilogram (kg) dan 17 bungkusan plastik dadah heroin seberat 16.9kg yang semuanya bernilai lebih RM5.6 juta.

Dadah itu dibawa masuk melalui KLIA oleh keldai dadah, baru-baru ini.