Kereta tersadai tayar pancit
Sebahagian kereta ditunda ke Plaza Tol Bukit Beruntung untuk dibaiki.
BUKIT BERUNTUNG - Lebih 50 kenderaan tersadai di bahu jalan sepanjang lapan kilometer bermula di Kilometer 435 hingga Kilometer 427 Lebuhraya Utara Selatan arah Utara malam kelmarin akibat tayar pancit.

Kesemua kenderaan ringan itu dikatakan terkena besi skru bertaburan di atas jalan dipercayai terjatuh daripada kenderaan membawa muatan tersebut.

Pengguna, Yeoh Seok Oo, 51, berkata, jadual perjalanannya daripada Johor ke Pulau Pinang lewat hampir empat jam apabila dua tayar belakang keretanya pancit terkena skru.

“Saya kena kira-kira jam 9.55 malam dan sekarang baru selesai.

“Saya sedar selepas dapat isyarat kereta dan keadaan ketika itu agak terkawal walaupun kereta sudah bergerak beralun-alun,” katanya yang menyambung semula perjalanannya jam 1.50 pagi semalam.

Menurutnya, walaupun dapat meneruskan perjalanan namun dia bimbang kerana terdapat lima kesan skru pada tayar digunakan selepas ditampal.

Katanya, tayar simpanan hanya ada satu dan dia terpaksa menggunakan semula tayar bertampal untuk meneruskan perjalanan.

Kejadian itu mula disedari antara jam 9.45 malam hingga 12 tengah malam di mana satu persatu kenderaan berhenti kerana tayar pancit.

Keadaan itu sangat jarang berlaku lebih-lebih lagi melibatkan jumlah kenderaan yang banyak dan  beberapa pengguna lain turut meluahkan rasa pelik dan kesal dengan kejadian tersebut.

Menurut mereka, keadaan itu amat berbahaya dan risiko kemalangan tinggi tambahan pula laluan tersebut pernah menjadi lokasi kemalangan.