Search This Blog

Thursday, September 13, 2012

Kempunan joli RM93,000



Oleh Zaitie Satibi
am@hmetro.com.my
         
KUALA LUMPUR: Hasrat empat lelaki warga Pakistan berjoli sakan dengan wang hasil tebusan RM93,000 selepas menculik rakan senegara dan mengurungnya sembilan hari di sebuah rumah setinggan di Taiping, Perak, tidak kesampaian apabila keluarga mangsa membuat laporan dan rumah itu diserbu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, mangsa berusia 20-an yang baru tiba di Malaysia untuk bekerja diperdaya empat rakannya dengan ditawarkan pekerjaan bergaji lumayan di Taiping sebelum dikurung sejak 29 Ogos lalu.


Menurutnya, kejadian bermula apabila mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang rakannya yang menawarkan pekerjaan dan dia yang tidak mengesyaki apa-apa menaiki bas dari Pudu Sentral ke Taiping.

“Sebaik tiba di Taiping, mangsa dibawa ke sebuah rumah setinggan di Kampung Dato Haji Hashim, Simpang, dengan teksi kononnya untuk berbincang mengenai bidang kerja ditawarkan dan gaji yang akan diterimanya.


“Namun, dalam rumah berkenaan mangsa dikurung dengan dikawal tiga lagi lelaki senegaranya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, semalam.


Mohmad berkata, kumpulan penculik terbabit kemudian menghubungi adik mangsa di Pakistan dan menghantar gambar mangsa menerusi e-mel serta meminta wang tebusan RM26,000. “Malah, suspek turut mengugut untuk membunuh mangsa jika keluarganya gagal menyediakan wang tebusan.

“Adik mangsa membuat laporan polis, namun dia yang bimbang berlaku perkara buruk terhadap abangnya turut membayar wang tebusan itu,” katanya.


Katanya, kumpulan penculik terbabit tamak apabila meminta wang lagi sebanyak RM67,000 daripada keluarga mangsa jika mahu mangsa dibebaskan walaupun pembayaran terdahulu sudah dibuat.

“Hasil siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9), IPK Kuala Lumpur berjaya mengesan suspek berusia 22 hingga 28 tahun di rumah setinggan itu sebelum melakukan serbuan.


“Keempat-empat suspek bekerja di ladang dan tapak pembinaan serta memiliki permit kerja sah mengaku terbabit komplot menculik dan memeras wang tebusan daripada mangsa,” katanya.


Beliau berkata, suspek terbabit kini direman mulai 6 September lalu selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan boleh dihukum gantung mandatori atau penjara seumur hidup dan sebatan jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment