Keluarga tunggu Sudin pulang
Rohaya menunjukkan laporan polis yang dibuat S Ramli pada 2005 dan kad pengenalan Sudin.
SEGAMAT - Kehilangan seorang warga emas, Sudin Jani, 78, sejak tujuh tahun lalu kekal misteri sehingga kini.

Anaknya, S Rohaya Sudin, 41, berkata, bapanya tidak pulang ke rumah pada kejadian 21 Mac 2005, selepas ke kediaman adiknya di Lubok Kepong, Batu Anam, di sini.

Menurutnya, ayahnya jarang pulang lewat meskipun dia suka berkunjung ke rumah adik-beradiknya dan kebiasaannya akan pulang semula ke rumah, sejam kemudian.

“Sekitar jam 2 pagi keesokan harinya, abang sulung saya, S Ramli Sudin, 45, membuat laporan di Balai Polis Batu Anam dan sejak itu, hampir seminggu rumah saya didatangi pelbagai pihak dalam usaha mengesan kehilangan ayah.

“Pelbagai usaha yang kami lakukan termasuk mendapatkan khidmat ustaz dan pengamal perubatan tradisional selain semua ahli keluarga dan pelbagai pihak giat mencari ayah namun tidak berhasil,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Tambahnya, kehilangan ayahnya juga pernah disiarkan di media elektronik namun tiada sebarang panggilan atau maklumat positif yang diterima daripada orang ramai, mahupun kenalannya.

Jelasnya, sekitar 2004, ayahnya pernah membuat permohonan untuk Rumah Mesra Rakyat dan ia lulus setahun kemudian tetapi tidak dapat dibina sehingga kini kerana memerlukan tandatangan ayahnya yang telah hilang ketika itu.

“Dalam permohonan untuk pertukaran hak milik tanah bagi melengkapkan salah satu prosedur yang ditetapkan, saya memerlukan tempoh tujuh tahun selepas tarikh kehilangan ayah sebelum ia disambung dengan beberapa maklumat tambahan lain.

“Sehingga kini, kami termasuk emak (Halimah Suboh, 65) yang menghidap pelbagai penyakit masih menanti kepulangan ayah dengan selamat,” katanya