Kejadian samun setiap bulan
Rakaman CCTV menunjukkan lelaki bersenjatakan parang mengarahkan pekerja dan pelanggan kedai kek menyerahkan wang tunai dan barangan berharga.
SEGAMBUT – Peniaga di kawasan perniagaan Medan Putra, Bandar Manjalara dekat sini bimbang dengan kehadiran kumpulan penyamun yang menjadi punca mereka mengalami kerugian ribuan ringgit setiap bulan.

Pekerja kedai kek, Peggy Tee, 24, berkata, kejadian samun yang berlaku pada 5 September lalu itu cukup membuatkan dirinya trauma.

“Lelaki berparang itu bukan sahaja menyamun kedai malah pelanggan saya turut kerugian RM600 selepas wang dilarikan penyamun,” katanya.

Menurutnya, suspek dilihat seolah-olah sudah biasa menjalankan kerjanya apabila bertindak menyembunyikan parang di dalam payung dan berpura-pura menjadi pelanggan.

“Suspek melarikan diri menaiki kereta Proton Wira yang dipandu oleh rakannya yang siap sedia menunggu di luar,” katanya.

Pemilik syarikat jualan langsung, Jessi, 33, berkata, premisnya dipecah masuk pada Jun lalu.

“Mereka mencuri barangan perniagaan dan ini adalah kali kedua selepas kedai disamun pada 2010 lalu,” katanya.

Sementara itu pemilik salun, Chin Roy Xing, 32, berkata, premisnya hampir dimasuki penyamun dalam kejadian Jun lalu.

“Nasib baik pintu berkunci tetapi kumpulan itu yang terdiri daripada lima orang bersenjatakan parang sempat menyamun empat kedai lain dalam tempoh 15 minit,” katanya.

Menurutnya, peniaga di situ mahu polis mengadakan ops payung atau balai polis bergerak di kawasan itu bagi mencegah kejadian jenayah daripada terus berlaku.

Difahamkan, sebuah pasar mini turut menjadi sasaran selepas 10 kali kes kecurian dilaporkan berlaku di premis itu.