Kedai kerap dipecah masuk
Peniaga di Hentian Raya Bentong bimbang berikutan kes kecurian kerap berlaku di kawasan itu.
Kedai kerap dipecah masuk
Seorang pembantu kedai menunjukkan kesan siling dipecahkan.
BENTONG – Peniaga di Hentian Raya Bentong bimbang berikutan premis perniagaan di kawasan itu kerap dipecah masuk pencuri sejak dua bulan lalu mengakibatkan mereka mengalami kerugian.

Peniaga buku, Aziah Abdul Aziz, 45, berkata, dia menjalankan perniagaan sejak 20 tahun lalu, namun sejak kebelakangan ini, kedai di kawasan itu sering dipecah masuk pihak tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, walaupun tidak membabitkan kerugian besar, namun kejadian itu cukup membimbangkan sekali gus memberi impak kepada perniagaan mereka jika berlarutan.

“Setakat ini, kedai saya sudah tiga kali dipecah masuk dan kejadian terkini pada Sabtu lalu.

“Barang yang hilang antaranya sejumlah wang tunai diletakkan di dalam laci dan buku dijual,” katanya.


Pecah siling ceroboh kedai

Manakala penjual tiket bas, Halizan Haron, 32, berkata, kedainya pernah dipecah masuk beberapa hari sebelum sambutan Aidilfitri lalu.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan dia mengalami kerugian kira-kira RM1,000, selain kehilangan beberapa karton rokok.

“Ketika memeriksa keadaan sekeliling, saya dapati terdapat siling dipecahkan dan digunakan pencuri untuk masuk ke dalam kedai.

“Sejak itu, saya mengambil keputusan untuk tidur di kedai pada waktu malam bagi mengelakkan perkara sama berulang,” katanya.

Halizan berkata, kebanyakan kedai dicerobohi menggunakan cara sama menerusi siling memandangkan tiada pengadang di atas bumbung yang memisahkan antara kedai-kedai.


Lebih berhati-hati

Sementara itu, peniaga kedai makan, Norafidah Mohd Ariffin, 43, berkata, dia menyedari kedainya dipecah masuk pagi Selasa lalu kerana cuti berniaga selama tiga hari.

Menurutnya, dia tidak menyimpan sebarang barangan berharga melainkan peralatan memasak menyebabkannya tidak mengalami kerugian sebagaimana peniaga lain.

“Kejadian itu menyebabkan kami (peniaga) lebih berhati-hati untuk meninggalkan kedai masing-masing selepas tamat berniaga.

“Kami juga tidak menyimpan barangan berharga seperti wang tunai di dalam kedai untuk mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya.


Gesa MPB bina pengadang

Menyedari perkara itu akan berlarutan sekiranya tidk mengambil tindakan sewajarnya, peniaga menggesa Majlis Perbandaran Bentong (MPB) membina pengadang di bahagian bumbung kedai.

Permintaan itu berikutan pencuri dipercayai menggunakan bumbung untuk memecah masuk ke dalam kedai.

Tinjauan Sinar Harian juga mendapati terdapat kira-kira lapan kedai dicerobohi menerusi siling dipecahkan.

Selain itu, mereka juga meminta pihak berkaitan memasang lebih banyak lampu di bahagian belakang premis perniagaan untuk mengelakkan kejadian sama berulang.