Azman Salim
Kedai emas di Jalan Besar, Sungai Siput dirompak dan barang kemas dilarikan dalam kejadian itu.
SUNGAI SIPUT – Sekumpulan perompak bertindak menebuk dinding sebuah kedai dan tiga peti besi sebelum melarikan sejumlah barang kemas dari sebuah kedai emas di Jalan Besar di sini, awal pagi semalam.
Kejadian yang berlaku di antara jam 12 tengah malam hingga 6 pagi semalam hanya disedari oleh anak pemilik kedai emas tersebut ketika dia membuka perniagaan kira-kira jam 9 pagi semalam.
Mangsa berusia 30-an itu kemudian membuat laporan polis selepas mendapati lubang yang boleh memuatkan seorang pada sesuatu masa bahagian atas bilik kebal tersebut.
Difahamkan, bilik kebal berkenaan menempatkan empat peti besi yang digunakan untuk menyimpan barang-barang kemas sebelum dipamerkan di kedai berkenaan.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Azman Salim berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya percaya perompak terbabit merancang jenayah mereka dengan teliti.
Menurutnya, penjenayah dipercayai memasuki pintu belakang sebuah kedai yang telah kosong sejak 12 tahun lalu yang terletak bersebelahan kedai emas tersebut selepas tengah malam.
“Dengan menggunakan alat dipercayai gerudi, mereka membuat lubang di dinding pejabat kedai emas terbabit sebelum mematikan kamera litar tertutup (CCTV) dan penggera. Mereka menggunakan tangga untuk menebuk lubang seluas 0.5 meter di bahagian atas bilik kebal sebelum masuk dan membuka tiga dari empat peti besi.
“Mereka mungkin tidak sempat menebuk peti keempat kerana kekangan masa. Bagaimanapun kerugian masih belum diketahui kerana pemilik berada di Sabah,” katanya kepada Sinar Harian.
Azman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan pihaknya sedang melancarkan gerakan memburu penjenayah terlibat.