[DIKEMAS KINI] BATU GAJAH – Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun ditemui mati lemas ketika mandi bersama empat rakannya di sebuah lombong di Kampung Tersusun Bemban di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa, Mohd Danial Al Aris Abu Talib mandi di lombong berkenaan sejak jam 3 petang.
Pegawai Operasi, Halid Md Zin berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa membabitkan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah dan Simpang Pulai.
Menurutnya, mangsa ditemui tersangkut berhampiran sebuah pulau di tengah lombong itu kira-kira satu meter dari tempat dia tenggelam, jam 10.23 malam.
“Operasi diteruskan semula pada jam 8.47 malam. Berdasarkan maklumat saksi, mangsa kali terakhir dilihat berada di tengah lombong sebelum tenggelam.
“Dua bot digerakkan mencari mangsa di sekeliling kawasan yang dia didapati tenggelam dan anggota kita menemui mangsa tersangkut berhampiran pulau itu.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Batu Gajah untuk bedah siasat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini.
Difahamkan, tapak bekas lombong di kawasan itu sering menjadi tumpuan kaki pancing dan kanak-kanak untuk bermain dan mandi.