Jurutera disamun ketika tidur
Mohamad Mat Yusop
SHAH ALAM – Seorang jurutera berdepan saat mencemaskan apabila disamun dua penjenayah bersenjatakan pisau ketika sedang tidur di bilik utama di rumahnya di Bandar Parklands, Bukit Tinggi 3, Klang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa, berumur 33 tahun, dikejutkan seorang penjenayah yang mengacukan pisau ke arahnya.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, penjenayah kemudiannya arahkan mangsa menutup kepala menggunakan selimut.

“Khuatir dengan keselamatan diri, lelaki itu terpaksa mendengar arahan penjenayah. Dia kemudiannya terdengar suara seorang lagi lelaki yang masuk ke bilik.

“Dua penjenayah itu terus menyelongkar bilik dan ruang tamu serta mencabut cincin emas yang dipakai mangsa,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, mangsa kerugian hampir RM1,000 setelah beberapa barang termasuk cincin, telefon bimbit dan wang tunai RM200 dilarikan penjenayah.

Menurutnya, ketika kejadian, penjenayah tidak memakai topeng dan memakai sarung tangan kain.

Katanya, mangsa hanya terlihat seorang penjenayah memakai seluar jean dan baju T berwarna merah jambu.

“Penjenayah dipercayai warga tempatan berumur lingkungan 25 hingga 30 tahun. Mangsa tidak dapat mengecam muka penjenayah kerana keadaan gelap di dalam bilik selain mukanya ditutup dengan selimut,” katanya.

Mohamad berkata, siasatan mendapati penjenayah memecah masuk rumah mangsa dengan memotong dua batang gril pagar dan mengeluarkan pintu kaca dari landasannya.