Search This Blog

Tuesday, September 4, 2012

Jurumekap pondan kena toreh terima 70 jahitan




         
PETALING JAYA: Seorang jurumekap lelaki berperwatakan wanita ditoreh di celah kangkangnya hingga terpaksa menerima 70 jahitan dalam pergaduhan sesama pondan di Pusat Perniagaan Mentari, Bandar Sunway, di sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa berusia 40 tahun diserang seorang pondan lain yang dikenali berusia 25 tahun dipercayai kerana cemburu dengan kejelitaan mangsa hingga nampak lebih muda.


Menurut sumber, suspek yang juga jurumekap dipercayai tidak berpuas hati kerana mangsa dikatakan merebut pelanggannya dalam bidang kecantikan hingga perniagaannya merosot.

“Ketika kejadian, mangsa menemui seorang rakannya dan mereka sedang rancak berbual berhampiran satu kedai makan apabila tiba-tiba dihampiri suspek terbabit.


“Suspek yang dalam keadaan marah menghamburkan perkataan kesat terhadap mangsa sebelum tiba-tiba mengeluarkan pisau dan cuba menikam mangsa,” katanya.


Sumber berkata, mangsa kemudian bergelut dengan suspek dan dalam pergelutan itu, bahagian paha mangsa ditoreh dengan pisau manakala tapak tangan kirinya turut cedera ketika cuba menangkis senjata tajam itu.

“Suspek dikatakan cuba mengambil pisau dari kedai makan berkenaan, namun mangsa dapat melepaskan diri dan beredar dari tempat kejadian,” katanya. Akibat kejadian itu, mangsa mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum membuat laporan di Balai Polis Sungai Way.


Difahamkan, suspek sudah ditahan polis dan akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.

No comments:

Post a Comment