Search This Blog

Saturday, September 15, 2012

‘Jangan hanya salahkan saya’




         
IPOH: “Jangan hanya salahkan saya kerana Amanda turut ‘dirasuk’ apabila menggigit, mencakar dan mencucuk mata saya kerana cemburu pada kenalan wanita dalam facebook,” kata ahli perniagaan, Calven Chik Foo Keong, 26, yang terbabit dalam kes memukul isterinya, Amanda Fong, 19, sebelum kejadian itu menjadi topik hangat di laman sesawang YouTube.

Menurutnya, tindakan menyebarkan rakaman kejadian pergaduhan itu di laman sosial menyebabkan dia menjadi sasaran maki hamun, ugutan serta dilabel lelaki paling kejam di Malaysia sejak dua minggu lalu.


“Tidak cukup dengan kata-kata nista itu, ada individu yang tidak mendapat gambaran jelas berhubung kejadian itu turut menghantar mesej mahu mencederakan saya jika ditemui di lokasi awam.

“Rakaman pergaduhan ditonton lebih 50,000 pengguna Internet itu turut ditonton masyarakat antarabangsa, sekali gus menjejaskan imej saya,” katanya pada sidang akhbar khas diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini, pagi semalam.


Pada majlis itu, Chik turut menayangkan semula rakaman penuh kamera litar tertutup (CCTV) di butiknya pada 23 Ogos lalu bagi menepis dakwaan dia mencekik, menumbuk dan mendera isterinya di dalam premis.


“Saya ingin buktikan bahawa pergaduhan itu berpunca daripada perlakuan cemburunya selepas mendapati saya berhubung dengan salah seorang pelanggan wanita melalui facebook.

“Saya tidak mempunyai maksud lain, sebaliknya hanya menjemput pelanggan itu datang ke butik untuk melihat barangan dan pakaian yang baru sampai ke kedai kami,” katanya.


Menurutnya, Amanda tiba-tiba marah dan menyerang dia dulu dengan menarik baju dan cuba menyucuk matanya.

“Saya terpaksa melawan dan menolaknya beberapa kali kerana dia mencakar lengan, muka dan mata saya. Berdasarkan rakaman ini, saya hanya menolak dan menepis tangannya berulang kali.


“Tindakan itu terpaksa dilakukan kerana Amanda menjadi agresif hingga menyebabkan baju yang saya pakai terkoyak ditariknya. Saya terpaksa menolaknya jauh dari kaunter pembayaran kerana bimbang dia akan mencapai gunting atau objek berbahaya lain,” katanya.


Menurutnya, rakaman penuh CCTV itu sudah diserahkan kepada pegawai penyiasat polis Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh untuk siasatan lanjut.


“Rakaman itu jelas menunjukkan saya tidak mengurungnya di dalam kedai berikutan pintu premis tidak dikunci, malah dia masih mampu berjalan ke tandas,” katanya.

No comments:

Post a Comment