Norhayati menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Changkat Jering.
Norhayati menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Changkat Jering.
Keratan akhbar Sinar Harian bertarikh 1 Ogos lalu.
Keratan akhbar Sinar Harian bertarikh 1 Ogos lalu.
AIR KUNING – Sebuah keluarga di sini menuntut pembelaan berhubung kes seorang pelajar tingkatan tiga yang mengalami masalah pendengaran setelah ditampar seorang guru disiplin penghujung Mei lalu.

Ibu mangsa, Norhayati Mansor, 40, berkata, sejak berita keadaan anaknya disiarkan, tiada pihak terlibat yang tampil berbincang bagi menyelesaikan kes itu.

Menurutnya, dia dan keluarga agak kesal apabila kes anaknya itu tidak diberi perhatian serius jabatan berkaitan.

“Setiap kali kami menghubungi mereka, pelbagai alasan diberikan, kami hanya mahu duduk berbincang mengenai kes ini, jika mereka bersalah, mereka harus bertanggungjawab,” katanya.

Dalam laporan 1 Ogos lalu, Syed Hafiz Al Raimi Syed Mohamad Amin, 15, ditampar dengan kuat dibahagian telinga kiri oleh guru disiplinnya pada hari terakhir persekolahan.

Insiden yang berlaku hanya kerana kesalahan gaya rambut itu menyebabkan pendengaran mangsa terjejas.

Norhayati berkata, buat masa ini, pihaknya sudah mengeluarkan kos lebih RM500 bagi pembiayaan rawatan anaknya di sebuah hospital swasta.

Katanya, dia dan keluarga menaruh harapan tinggi agar keadaan pendengaran anaknya kembali pulih.

“Saya harap Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dapat membantu kami dengan segera mengatur satu pertemuan antara guru yang terbabit bagi menyelesaikan kes ini secepat mungkin,” katanya.