Search This Blog

Saturday, September 15, 2012

Hubungan 2 mangsa bunuh disiasat



 
Serdang: Polis sedang mengenal pasti hubungan dua ahli perniagaan yang ditemui mati di sebuah rumah di Taman Segar Perdana, Batu 9, Cheras, dipercayai dibunuh selepas disamun malam kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah, berkata maklumat itu dipercayai boleh membantu siasatan, terutama dalam mengenal pasti motif sebenar kejadian. “Hasil pemeriksaan mendapati rumah itu memang mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) tetapi tidak berfungsi pada hari kejadian.
Kesan selongkar


“Insiden ini tiada kaitan dengan kes bunuh lain dan siasatan masih dijalankan, terutama bagi mengenal pasti suspek,” katanya selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 malam kelmarin, Leong Kian Sheong, 37, dan rakan wanitanya, Vivien Wong, 20, yang lengkap berpakaian ditemui mati dalam bilik yang dijadikan pejabat.

Hasil pemeriksaan mendapati beberapa barang mangsa hilang dan kesan selongkar dalam rumah itu.
Mohd Adnan mengesahkan dua kenderaan mewah milik mangsa, masing-masing jenis BMW dan Toyota Vellfire turut dilarikan bersama jam tangan, barang kemas serta wang tunai.

“Kedua-dua mangsa ditemui berlumuran darah dengan kesan tetak di tangan dan leher, malah hasil pemeriksaan turut menemui sebilah parang dipercayai senjata diguna suspek,” katanya.

Sementara itu, sumber memberitahu BH, pemilik kedai tayar berkenaan bersama rakan wanitanya itu dipercayai dibunuh pagi kelmarin sebelum mayat mereka ditemui.

“Ia berdasarkan maklumat diberi rakannya yang cuba menghubungi mangsa pagi semalam melalui telefon bimbitnya, namun tidak berjawab,” katanya.

No comments:

Post a Comment