Gempar temui mayat wanita
Polis memeriksa mayat yang ditemui penduduk di kebun sawit di Kampung Belokok, semalam.
Gempar temui mayat wanita
Hasnah dipapah keluar selepas melihat mayat yang ditemui penduduk.
PONTIAN - Seorang penduduk kampung menemui satu mayat wanita dipercayai milik warga emas, Halimah Abdul Ghani, 78, atau mesra dipanggil Kak Limah yang hilang sejak 25 Ogos lalu, di kebun kelapa sawit, di Kampung Belokok, Teluk Kerang di sini, kira-kira jam 10 pagi, semalam.

Sabariah Abdul Husin, 48, berkata, sebelum penemuan mayat berkenaan, dia bersama ibu saudaranya, Bechik Abd Wahab, 60, dan Kamariah Abd Wahab, 50, sedang mengutip biji kelapa sawit di kebun berkenaan.

Menurutnya, dia berasa pelik melihat begitu banyak lalat di dalam kebunnya dan situasi itu tidak seperti biasa.

“Setelah berjalan ke hujung kebun, saya lihat hurungan lalat semakin banyak pada objek yang sedang tertiarap. Saya beranikan diri mendekati, dan alangkah terkejutnya apabila melihat kepala manusia,” katanya kepada Sinar Harian.

Sabariah berkata, menyedari objek yang ditemui adalah mayat manusia, dia segera memanggil ibu saudaranya dan memaklumkan perkara berkenaan kepada penduduk kampung.

Tambahnya, kejadian seumpama itu pertama kali berlaku dalam hidupnya.

Tiada unsur jenayah

Sementara itu, Ketua Polis daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin berkata, pihaknya dimaklumkan penduduk kampung berhubung penemuan mayat di kebun kelapa sawit di Kampung Belokok, pagi semalam.

Menurutnya, hasil siasatan dan pengecaman oleh ahli keluarga terdekat serta keadaan fizikal mayat, dipercayai ia adalah Halimah Abd Ghani yang dilaporkan hilang sejak 12 hari lalu.

“Saya yakin itu adalah mayat Halimah berdasarkan pengecaman ahli keluarganya yang menyatakan itu adalah mayat saudara mereka yang hilang,” katanya di lokasi penemuan mayat, semalam.

Zahaliman berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan sudah lima hari mayat berkenaan berada di kebun berkenaan berdasarkan keadaan fizikalnya dan tiada sebarang unsur jenayah yang dikaitkan dengan penemuan itu.

Jelasnya, mayat berkenaan dihantar ke Hospital Pontian untuk bedah siasat dan pihaknya kini menunggu hasil pembedahan yang dilakukan.

Beliau turut mengumumkan operasi mencari yang bermula pada 25 Ogos lalu, dihentikan serta merta dan mengucapkan terima kasih kepada pihak yang terlibat terutamanya pasukan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), polis dan penduduk kampung.

Doa Hasnah dimakbulkan

Bagi adik arwah, Hasnah Abdul Ghani, 74, berkata, meskipun pemergian kakaknya dalam keadaan menyayat hati, dia bersyukur mayat Halimah ditemui.

Menurutnya, dia mengetahui berhubung penemuan mayat kakaknya itu melalui seorang penduduk kampung yang datang ke rumahnya, pagi semalam.

“Alhamdulillah, syukur ALLAH SWT makbulkan doa saya untuk bertemu dengan Kak Limah, meskipun yang ditemui hanya mayatnya, dan pemergiannya yang tak kembali ini masih ada kubur yang boleh kami ziarahi kelak,” katanya kepada  Sinar Harian, semalam.

Jelasnya, sejurus diberitahu mengenai penemuan mayat berkenaan, dia bersama adiknya, Mohd Afrafie, 71, bergegas ke lokasi kejadian kira-kira 2.5 kilometer dari kediaman mereka.

Hasnah yang tidak dapat menahan kesedihan sebaik tiba di kebun sawit berkenaan, terpaksa dipapah penduduk kampung untuk ke lokasi mayat ditemui yang terletak di hujung kebun itu.

“Saya yakin itu Kak Limah, selepas melihat bentuk badan dan baju yang ditemui berdekatan dengan mayat itu,” katanya sayu.

Mimpi jadi petunjuk

Menurutnya, dia turut mendapat petunjuk akan bertemu kakaknya melalui mimpi, malam kelmarin.

Hasnah berkata, sejak kakaknya hilang dia tidak pernah bermimpi sehinggalah malam kelmarin sebelum mayatnya ditemui.

“Dalam mimpi itu, saya lihat orang ramai berkumpul seperti melihat sesuatu yang aneh. Saya tak sangka mimpi itu jadi kenyataan pagi ini (semalam), apabila mayat Kak Limah ditemui,” katanya.

Hasnah dan Mohd Afrafie reda dengan pemergian kakak mereka itu meskipun ditemui dalam keadaan yang sungguh menyayat hati.