Search This Blog

Friday, September 21, 2012

Gempar lori 10 tan tersangkut di jejantas




         
MELAKA: Orang ramai di sekitar Hotel Hatten dan Mahkota Parade, di sini, gempar apabila sebuah lori 10 tan tersangkut di jejantas pejalan kaki pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu menyebabkan beberapa pengunjung dan orang ramai yang berada di sekitar hotel dan pusat beli- belah berkenaan terkejut.


Bahagian belakang lori tanpa muatan itu terangkat setinggi kira-kira tujuh meter sebelum tersangkut pada papan tanda arah dan jejantas pejalan kaki hingga menyebabkan kesesakan jalan raya di laluan berkenaan. Ahli Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Ronald Gan yang berada di tempat kejadian berkata, seorang penunggang motosikal ternampak bahagian belakang lori berkenaan terangkat sewaktu melalui jalan di hadapan Menara Taming Sari.

“Penunggang itu mengejar lori berkenaan dan membunyikan hon bagi memberitahu pemandu terbabit yang mungkin tidak perasan bahagian belakang lori terangkat.


“Usaha penunggang itu bagaimanapun gagal kerana bunyi hon itu tidak didengari pemandu itu yang terus memandu sebelum merempuh papan tanda arah dan jejantas,” katanya ketika ditemui di sini semalam.


Beliau berkata, ketika kejadian tiada orang ramai yang menggunakan jejantas pejalan kaki menghubungkan Mahkota Parade dan Hotel Hatten itu.

Katanya, pemandu dan syarikat lori berkenaan perlu bertanggungjawab untuk membayar ganti rugi akibat kerosakan pada papan tanda arah dan sebahagian kecil jejantas pejalan kaki.


“Sekiranya mereka gagal berbuat demikian, MBMB tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kerana kecuaian pemandu itu sendiri,” katanya.

Seorang jurutera MBMB yang dipanggil ke tempat kejadian mendapati tidak ada sebarang kerosakan teruk pada struktur jejantas pejalan kaki, tetapi papan tanda arah rosak teruk.

No comments:

Post a Comment